Awang Alik Jerman.

PUTRAJAYA – Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman mendedahkan ada pihak menggunakan namanya untuk mendapatkan habuan daripada individu di luar kementerian.

Awang Alik berkata, maklumat tersebut diperolehi daripada pihak luar.

Beliau memandang serius tindakan berkenaan kerana ia mencemarkan imej peribadi serta reputasi KDN.

“Yang ini, saya pandang agak serius. Saya dengar di luar sana, saya dapat maklumat nama saya digunakan untuk mendapatkan habuan daripada pihak-pihak tersebut.

“Mungkin kalau nama saya sudah keluar, mungkin nama menteri, nama timbalan menteri, nama IGP juga akan terlibat. Tapi saya belum dengar lagi yang itu, yang saya dengar setakat ini nama saya dipergunakan kononnya saya minta hubungi seseorang untuk dapatkan sesuatu,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KDN hari ini.

Menurut Awang Alik, dakwaan itu kononnya beliau meminta seseorang dihubungi bagi mendapatkan bayaran adalah tidak benar sama sekali.

“Tidak. Benda ini tidak pernah berlaku. Saya tak kenal sesiapa, saya pun tidak pernah keluar nak minum dengan sesiapa yang saya tak kenal. Tak ada,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran tegas kepada pelaku sekiranya terbukti ada pihak yang menggunakan namanya.

“Tolong maklum bahawa kalau ada yang berlaku, tolong maklumkan kepada pegawai-pegawai kita, hentikan. Sebab kali ini saya tengah siasat ya. Kalau saya dapat tangkap yang ini, out,” tegasnya.

Menurutnya, tindakan tidak bertanggungjawab itu tidak boleh dibiarkan kerana menjejaskan nama baik kementerian serta integriti pentadbiran.

“Yang ini sangat mencemarkan nama kita, nama kementerian kita dan nama saya. Jadi saya tidak boleh buat kompromi dengan perkara seperti ini.

“Kita buat kerja, kita telah diberi amanah, kita buat amanah kita dengan baik dan jangan cemarkan amanah yang telah kita diberikan,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast