Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berucap pada Majlis Perasmian Loji Rawatan Air Langat 2 ketika di Kompleks Loji Rawatan Air Langat 2, Hulu Langat. Foto MOHD ADZLAN, 20 OGOS 2025.

HULU LANGAT – Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 ini disifatkan sebagai pencapaian kejuruteraan yang membanggakan serta bukti kemampuan Malaysia membina infrastruktur air berskala besar menggunakan kepakaran tempatan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, loji berkapasiti 1,130 juta liter sehari itu merupakan salah sebuah loji rawatan air terbesar di negara ini.

Loji dibangunkan dengan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Selangor dan Pahang, jabatan, agensi serta sektor swasta.

“LRA Langat 2 adalah manifestasi kemampuan tempatan dalam melaksanakan projek raksasa dengan teknologi rawatan moden setanding piawaian antarabangsa.

“Kejayaan ini membuktikan usaha bersama semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan projek ini,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian LRA Langat 2 di sini hari ini.

Menurut Fadillah, PETRA komited memastikan akses air bersih dan berkualiti kepada seluruh rakyat selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 6).

Setakat 2024, kadar liputan bekalan air berada pada tahap 97 peratus manakala rizab margin di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan berada pada paras selesa iaitu 14.9 peratus.

Bagaimanapun katanya, sektor air negara masih berdepan cabaran termasuk isu Air Tidak Terhasil (NRW), infrastruktur usang dan kedudukan kewangan operator air yang rapuh.

“Melalui Pelan Hala Tuju Transformasi Sektor Air 2040 (AIR2040), kerajaan akan memberi tumpuan untuk meningkatkan akses bekalan air terawat, memperkukuh rizab margin, mengurangkan NRW serta memperkenalkan pembiayaan alternatif demi kelestarian sektor air,” jelasnya.

Tambah Fadillah, antara inisiatif lain termasuk meneroka sumber air alternatif seperti penggunaan air pulihguna untuk industri bukan makanan seperti pusat data serta pelaksanaan Program Penggantian Paip Kritikal di seluruh negara.

“Kerajaan menyasarkan kadar NRW dapat diturunkan kepada 28.8 peratus menjelang 2030 melalui penyelesaian holistik yang dirancang,” katanya.

Fadillah turut menegaskan, pengurusan air tidak boleh dilihat semata-mata sebagai isu teknikal, sebaliknya perlu dijadikan teras utama agenda pembangunan negara, khususnya dalam mendepani kesan perubahan iklim seperti kemarau dan banjir.

“Kerajaan Madani akan terus komited membina ketahanan sektor air agar keperluan generasi kini dan akan datang dapat dipenuhi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast