Timbalan Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 24 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Seramai 368 murid di Parlimen Selangau, Sarawak layak menerima Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) dengan bayaran di antara RM770 hingga RM1,210 setahun melibatkan peruntukan sebanyak RM310,760.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, bantuan itu untuk murid sekolah menengah termasuk Tingkatan Enam dengan pendapatan ibu bapa di bawah RM2,589 yang cemerlang dalam akademik dan kokurikulum,

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan 18 jenis bantuan persekolahan di mana lima jenis Bantuan Persekolahan Umum dan 13 jenis Bantuan Persekolahan Khusus.

“KPM melalui Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Pejabat Pendidikan Daerah Selangau telah menyalurkan bantuan persekolahan kepada murid-murid yang layak di kawasan Selangau,” katanya pada sesi pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Selangau, Edwin Anak Banta bertanyakan Menteri tentang jumlah pelajar di Selangau yang menerima bantuan seperti Rancangan Makanan Tambahan (RMT), BKP dan bantuan peralatan persekolahan.

Kah Woh berkata, pihaknya juga melaksanakan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM1,135,500 untuk manfaat 7,570 orang murid di Selangau bagi sesi persekolahan 2025/2026.

“BAP diberikan kepada semua murid warganegara Malaysia yang berada di Tahun Satu hingga Tingkatan Enam,” katanya.

Selain itu katanya, seramai 1,793 murid dari Tahun Satu hingga Tingkatan 3 dari keluarga kategori miskin tegar di Selangau.

“Mereka telah menerima manfaat Bantuan Am Persekolahan (BAP) Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) Tahun 2025 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM195,250,” katanya.

Manakala bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT), jelas Kah Woh, seramai 1,213 murid sekolah rendah di Selangau menerima manfaat tersebut dengan peruntukan sebanyak RM921,880.

Sementara itu, seramai 48 Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) di Selangau menerima elaun sebanyak RM150 sebulan melibatkan peruntukan sebanyak RM41,550.

“Elaun ini diberikan bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga MBPK yang tergolong dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya.

Katanya, KPM turut menyediakan Bantuan Jaket Keselamatan (BJK) kepada murid yang menggunakan pengangkutan air ke sekolah.

“Bantuan ini telah diberikan kepada dua sekolah di Selangau iaitu 42 unit kepada murid di Sekolah Kebangsaan St. Mark dan 35 unit kepada murid di Sekolah Kebangsaan Kuala Lemai.

“KPM sentiasa komited untuk memastikan kebajikan semua murid terutama daripada keluarga yang berpendapatan rendah mendapat bantuan yang sewajarnya supaya tidak tercicir dalam pendidikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast