Ahn Hak-sop yang membawa bendera Korea Utara menghampiri pusat pemeriksaan tentera di jembatan Tingil yang merupakan jalan menghubungi sebuah kampung gencatan senjata, Panmunjom, di bandar sempadan Paju. - AFP

SEOUL – Seorang bekas perisik Korea Utara yang merayu dihantar ke nagara asal setelah menghabiskan masa berdekad-dekad dalam penjara di Korea Selatan dihalang daripada menyeberangi sempadan oleh para tentera Korea Selatan, kata seorang jurucakap kepada AFP.

Ahn Hak-sop, 95, merupakan salah seorang daripada enam warga emas bekas tentara Korea Utara yang meningkatkan desakan ke atas Seoul untuk menghantar mereka pulang ke negara asal.

Mereka dijatuhi hukuman di Korea Selatan kerana aktiviti anti-negara dan dipenjara selama berdekad-dekad akibat enggan meninggalkan komunisme. Mereka kemudiannya dibebaskan.

Ahn yang memegang bendera Korea Utara ‘berjalan beberapa ratus meter menuju ke sebuah pusat pemeriksaan tentera dan dihalang seorang anggota tentera’, kata jurucakap untuk kumpulan hak asasi yang berkempen kepulangan beliau.

Ahn dibawa ke hospital.

Gambar yang disiarkan agensi berita, Yonhap memaparkan Ahn memegang bendera Korea Utara di sempadan, tindakan yang boleh dihukum di bawah undang-undang keselamatan negara Korea Selatan.

Perang Korea tamat pada 1953 menerusi peletakan senjata mengakibatkan kedua-dua negara Korea itu secara teknikal masih lagi berperang.

Ahn ditangkap semasa Perang Korea pada 1953 ketika misi penyusupan dan dipenjarakan sehingga 1995, tempoh panjang yang boleh ditamatkan lebih awal jika beliau bersetuju menerima demokrasi.

Kumpulan hak asasi yang mewakili Ahn dan lima lagi berkata, mereka sepatutnya diiktiraf sebagai ‘banduan perang’ dan permintaan untuk dihantar pulang mesti dihormati di bawah Konvensyen Geneva.

“Saya adalah seorang banduan perang yang datang ke sini memakai uniform Korea Utara di bawah arahan Parti Pekerja.

“Bagaimanapun kerajaan Korea Selatan tidak melayan saya sebegitu dan saya dipaksa menghabiskan masa lebih 40 tahun dalam penjara, tertakluk kepada pelbagai seksaan” kata Ahn dalam temu bual dengan Ganghwa News pada 2024.

Kumpulan hak asasi memberitahu AFP bahawa ia akan terus mendesak kepulangan lelaki itu.

Korea Utara masih belum mengulas mengenai kes ini.

Kementerian Penyatuan Korea Selatan, yang mengendalikan hal ehwal membabitkan keduadua negara memberitahu AFP bahawa ia mengkaji semula ‘pelbagai kaedah untuk isu tersebut’.

Pegawai kementerian itu menambah, lebih ramai bekas pesalah dalam situasi sama dijangka memohon dihantar pulang walaupun kerajaan tidak mempunyai angka yang tepat berapa ramai yang masih hidup.

Pada 2000, Korea Selatan menghantar pulang 63 bekas banduan ‘yang tidak bertaubat’ menerusi gencatan senjata di kampung Panmunjom di sempadan semasa tempoh singkat penysuaian semula, yang mana ia merupakan kali pertama dan terakhir berlaku. – AFP

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast