KUALA TERENGGANU – Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan fizikal ke atas seorang kanak-kanak lelaki berusia satu tahun 10 bulan.
Mohammad Saiful Ikhwan Abdul Rahman, 27, dan isterinya Nor Azila Sharif Ahmad, 30, yang merupakan bapa kandung dan ibu tiri mangsa, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka secara berasingan.
Pasangan itu didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak berumur setahun 10 bulan, telah mengabaikan kanak-kanak itu iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Kampung Banggol Manir, di sini, antara bulan Mac tahun ini hingga 6 Ogos lepas.
Pasangan itu didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad menawarkan ikat jamin RM20,000 kepada kedua-dua mereka yang tidak diwakili peguam.
Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli kemudiannya membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan mereka perlu melapor di Balai Polis Manir setiap bulan serta tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah juga menetapkan 24 September ini sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam untuk kedua-dua suspek.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, dari segi kecederaan mangsa terdapat kesan lebam di seluruh badan, manakala hasil laporan bedah siasat pula mendapati berlaku pendarahan di kepala. – Bernama
















