GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta pihak berkuasa tempatan mengetatkan kawalan terhadap papan iklan elektronik di jalan utama kerana dikhuatiri mengganggu tumpuan pemandu.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, papan iklan digital dengan paparan terlalu terang dan berubah pantas boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.
“Bukti saintifik jelas menunjukkan papan iklan digital dengan tahap kecerahan melebihi 300 cd/m² pada waktu malam boleh menyebabkan gangguan penglihatan sementara pemandu.
“Pertukaran imej yang pantas, lampu memancar dan teks bergerak juga mewujudkan gangguan kognitif kerana pemandu mengalihkan perhatian kepada papan iklan dan bukan pada keadaan jalan raya.

“Negara seperti Sweden dan Norway menyekat atau mengharamkan papan iklan digital di tepi jalan kerana risiko keselamatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, sehubungan itu, CAP mencadangkan had kecerahan papan iklan digital ditetapkan pada atau di bawah 300 cd/m² pada waktu malam selain melarang imej bergerak dan pertukaran pantas.
“Penilaian kesan keselamatan jalan raya wajib dilaksanakan sebelum sebarang kelulusan papan iklan baharu.
“Kita menggesa pihak berkuasa bertindak segera sebelum banyak lagi kemalangan dilaporkan kerana keselamatan jalan raya tidak boleh dikompromi bagi keuntungan pengiklanan,” katanya. – MalaysiaGazette
















