PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan menerima memorandum menggesa agar pemantauan keselamatan di institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) diperkukuh dan tindakan tegas diambil dalam menangani isu buli.
Memorandum berkenaan mengandungi beberapa cadangan penambahbaikan termasuk aspek sokongan psikososial kepada pelajar, latihan khas kepada guru dan warden asrama, penglibatan ibu bapa menerusi modul pendidikan serta pemantauan menyeluruh peringkat institusi.
Fadhlina akan meneliti segala cadangan yang dikemukakan termasuk pelaksanaan pelan antibuli dan langkah-langkah yang mampu memperkukuhkan keselamatan serta menangani kes salah laku buli secara menyeluruh.
“KPM ketika ini sedang melaksanakan beberapa inisiatif utama termasuk audit keselamatan, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan penubuhan Jawatankuasa Reformasi Keselamatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut beliau, pihak kementerian amat mengalu-alukan pandangan dan kerjasama daripada semua pihak dalam usaha mewujudkan persekitaran pendidikan yang selamat, kondusif dan bebas daripada gejala buli.
“Usaha memerangi salah laku buli dan memastikan ekosistem pendidikan yang selamat adalah tanggungjawab kita bersama,” tambahnya beliau.
Terdahulu hari ini, sekumpulan mahasiswa bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun di hadapan KPM Putrajaya bagi menyerahkan satu memorandum menuntut pengunduran Fadhlina daripada jawatan Menteri Pendidikan.
Tindakan itu susulan beberapa siri insiden buli, penderaan dan keganasan yang berlaku di sekolah serta institusi pendidikan yang didakwa gagal ditangani secara sistemik oleh pihak kementerian. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















