Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku pengerusi ASEAN mengadakan mesyuarat bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Phumtham Wechayachai di Putrajaya. foto Pejabat Perdana Menteri. (Gambar fail).

KUALA LUMPUR – Cadangan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN untuk menambah pemerhati antarabangsa bagi memantau pelaksanaan genjatan senjata antara Thailand dan Kemboja bukan bertujuan mencampuri urusan dalaman kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu hanya untuk memperkukuh keberkesanan pasukan Pemerhati Interim ASEAN (IOT) yang kini dilihat kekurangan anggota di lapangan.

“Sebagai contoh, kita ada lapan di Bangkok tetapi hanya dua di Phnom Penh. Jadi kita putuskan perlu ditambah. Jika bilangan terlalu kecil, kita boleh ambil daripada pertahanan atau kedutaan untuk menyokong program ini.

“Tiada sebarang jangkaan luar biasa. Jika dibaca kenyataan itu, ia hanya menyebut supaya kita mulakan dengan kedutaan dahulu. Jadi perkara ini tidak menimbulkan masalah sama sekali,” katanya pada sidang media, hari ini.

Anwar berkata demikian selepas merasmikan Forum Undang-undang ASEAN 2025: Memperkasa Akses kepada Keadilan dalam Komuniti ASEAN: Menjambatani Kerjasama Perundangan untuk Pertumbuhan Inklusif dalam Era Digital di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Bagaimanapun, Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai semalam menolak cadangan Anwar dengan menegaskan bahawa konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja adalah isu dua hala dan tidak wajar dicampuri pihak luar.

Phumtham berkata, Anwar telah menghubunginya pada Selasa lalu dan mengemukakan cadangan penambahan pemerhati antarabangsa dengan alasan terdapat banyak tugasan yang tidak dapat dilaksanakan oleh IOT secara bersendirian.

Namun, jelasnya, Thailand tetap berpegang kepada pendirian bahawa isu sempadan itu hanya boleh diselesaikan antara Bangkok dan Phnom Penh tanpa campur tangan luar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast