Pihak bomba, JKR dan polis melakukan pemantauan di lokasi kejadian.

GEORGE TOWN – Hujan lebat berpanjangan mencetuskan insiden tanah runtuh berhampiran tiga buah rumah di Jalan Paya Terubong, Ayer Itam di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 petang itu, cerun setinggi kira-kira sembilan meter runtuh dengan keluasan dianggarkan 15 x 15 kaki persegi hanya beberapa meter dari kediaman penduduk.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Mohamad Syafizani Mohd Rosli berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, tujuh anggota bersama sebuah jentera penyelamat dan sebuah unit EMRS dikejarkan ke lokasi.

“Setiba di lokasi, kita dapati runtuhan berlaku berhampiran tiga buah rumah penduduk dan hanya sebuah rumah terjejas kerana terletak berdekatan dengan kawasan runtuhan.

Adun Ayer Itam, Joseph Ng Soon Siang turut melakukan tinjauan di lokasi.

“Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terbabit dan keadaan berjaya dikawal dengan pemantauan dijalankan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya ketika dihubungi.

Tambah Mohamad Syafizani , JKR juga mengambil langkah awal dengan menutup kawasan runtuhan menggunakan kanvas bagi mengelakkan pergerakan tanah daripada terus berlaku, sementara pasukan geoteknikal dijangka melakukan pemeriksaan susulan esok.

“Setakat ini tiada pemindahan dilakukan, namun kawasan terlibat kekal dalam mod berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Operasi ditamatkan pukul 5.10 petang dan lokasi diserahkan kepada JKR serta PDRM untuk pemantauan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Itam, Joseph Ng Soon Siang turut turun padang meninjau keadaan dan menegaskan aspek keselamatan penduduk kekal menjadi keutamaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast