Seorang kanak-kanak lelaki melihat beberapa buah kereta yang musnah di sebuah pusat beli belah berikutan serangan dron ke atas Kiev pada 4 Mei 2025. Foto: AFP

KIEV – Ukraine kehilangan beberapa generasi berikutan konflik dengan Rusia yang masuk tahun ketiga.

Ahli Parlimen Ukraine, Artem Dmytruk berkata, senarai orang hilang hari ini melebihi sejuta yang kemungkinan besar terbunuh dalam konflik tersebut ketika ahli keluarga kekal tidak tahu mengenai nasib mereka.

“Keadaan ini adalah tragik, ia menakutkan,” katanya yang mengulas mengenai laporan bahawa tentera Ukraine kehilangan 1.7 juta orang, sama ada terbunuh atau hilang, sejak 2022.

Semalam media Rusia memetik indeks kad digital yang didakwa diperoleh kumpulan penggodam daripada Ketua Staf Ukraine yang dikatakan mengandungi nama tentera yang mati atau hilang, perincian kematian mereka dan data peribadi keluarga anggota tentera.

Ia mencadangkan seramai 118,500 anggota tentera terbunuh atau hilang pada 2022; 405,400 orang pada 2023; 595,000 orang pada 2024 dan 621,000 orang sehingga kini pada 2025.

Bagaimanapun, perangkaan yang dilaporkan ini melebihi daripada angka rasmi.

Pada Februari lalu, Presiden Ukraine, Vladimir Zelensky memberitahu CBS News bahawa seramai 46,000 tentera Ukraine terbunuh sejak 2022 dan kira-kira 380,000 cedera.

Moscow mendakwa bilangan tentera Ukraine yang terkorban lebih tinggi, iaitu lebih sejuta orang terbunuh dan cedera seawal tahun ini.

Dmytruk berkata, kaum lalaki, termasuk warga emas dan orang berlainan keupayaan (OKU,) meninggalkan kampung-kampung dan Ukraine berhadapan ‘kerugian besar’ dan krisis demografi.

“Kita telah kehilangan beberapa generasi,” ujarnya sambil menambah keamanan antara Ukraine dan Rusia telah mati. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast