Pihak bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan kelindan lori yang tersepit.

KEPALA BATAS – Seorang kelindan lori maut manakala pemandunya cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan di Kilometer 116 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 pagi itu, mangsa, Saipol Nizam Aman@Ahmad, 41, maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada anggota badan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 5.42 pagi dan tiba di lokasi lima minit kemudian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi pihaknya mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah lori lima tan yang disyaki terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

“Impak kejadian itu menyebabkan kelindan maut selain tersepit di tempat duduk penumpang manakala pemandu berusia 31 tahun selamat namun mengalami kecederaan.

“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit dilakukan dengan menggunakan peralatan khas sebelum dia berjaya dikeluarkan pada jam 6.45 pagi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah beliau, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi yang dilakukan pegawai dan anggota  Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas itu tamat jam 7.59 pagi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast