Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bergambar bersama deligasi Asean serta tetamu yang hadir selepas Forum Undang-undang ASEAN 2025: Memperkasa Akses kepada Keadilan dalam Komuniti ASEAN: Menjambatani Kerjasama Perundangan untuk Pertumbuhan Inklusif dalam Era Digital ketika di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto MOHD ADZLAN, 21 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang menimbang penubuhan sebuah kementerian yang khusus berkaitan undang-undang bagi memastikan ekosistem perundangan negara lebih tersusun, bersepadu dan mampu bergerak seiring dengan perkembangan semasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu juga akan membolehkan Malaysia memperkukuh interaksi bersama rakan serantau, khususnya negara-negara ASEAN dalam usaha menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang.

“Malaysia sedang menilai cara terbaik untuk memperkukuh seni bina perundangan negara. Kami sedang serius mempertimbangkan penubuhan sebuah Kementerian Undang-undang khusus, satu langkah yang bukan sahaja akan memastikan ekosistem perundangan nasional lebih tersusun, malah membolehkan Malaysia berinteraksi dengan lebih bermakna bersama rakan serantau dalam memajukan kedaulatan undang-undang.

“Dengan menyelaraskan diri kepada amalan terbaik jiran kita, Malaysia akan berada pada kedudukan lebih kukuh untuk membentuk sebuah tertib serantau yang lebih adil dan responsif,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Undang-Undang ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, timbalannya, M. Kulasegaran serta Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn.

Anwar berkata, Malaysia kini sedang menilai langkah terbaik untuk memperkukuh seni bina perundangan negara.

Menurut beliau, penubuhan kementerian itu akan memastikan ekosistem perundangan nasional lebih tersusun serta membolehkan Malaysia berperanan lebih aktif di peringkat serantau dalam memajukan prinsip kedaulatan undang-undang.

Anwar berkata, semangat pembaharuan itu tidak hanya terhad kepada Malaysia, sebaliknya ASEAN juga perlu melabur lebih banyak dalam kerjasama undang-undang bersama.

“Dengan semangat pembaharuan ini, ASEAN juga mesti terus melabur dalam bantuan perundangan bersama, memperkukuh mekanisme penyelesaian pertikaian serta berdepan cabaran baharu berkaitan tadbir urus digital dan pengawalseliaan kecerdasan buatan (AI),” ujarnya.

Katanya, cabaran baharu seperti tadbir urus digital dan peraturan berkaitan kecerdasan buatan mesti diberi perhatian serius kerana ia bukan lagi isu abstrak, sebaliknya realiti yang sedang ditempuh negara-negara anggota.

“Ini bukanlah pembaharuan yang bersifat abstrak. Ia adalah langkah membina kepercayaan, bagi memastikan ASEAN kekal relevan dan berdaya tahan dalam dunia yang sedang berubah dengan pantas,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast