Danial Al-Rashid
Danial Al-Rashid.

KUALA LUMPUR – Pemuda Amanah Nasional menggesa kerajaan mempertimbangkan pemberian insentif kewangan, pengurangan beban kerja serta sokongan kesejahteraan guru sebagai usaha mengembalikan minat dan motivasi warga pendidik di negara ini.

Gesaan itu dibuat susulan laporan terbaru yang mendedahkan lebih 19,000 guru memilih untuk bersara awal sejak tahun 2022 dengan alasan utama hilang minat terhadap profesion perguruan.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Danial Al Rashid berkata, keadaan itu amat membimbangkan kerana memberi kesan langsung terhadap keberlangsungan sistem pendidikan negara.

“Guru adalah tunjang utama pendidikan. Jika mereka hilang semangat dan motivasi, masa depan generasi muda akan terjejas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara cadangan yang diketengahkan termasuk pemberian elaun tambahan berbentuk insentif prestasi khususnya kepada guru yang berkhidmat melebihi 15 tahun selain menyediakan laluan kerjaya lebih jelas dengan peluang kenaikan pangkat lebih pantas bagi guru cemerlang.

“Kami turut mencadangkan pengurangan beban kerja bukan mengajar dengan menekankan keperluan mengurangkan tugasan pentadbiran dan kerja luar kelas yang mengganggu fokus utama guru, serta menambah staf pembantu untuk menguruskan tugasan perkeranian.

“Bagi aspek kesejahteraan pula, dicadangkan agar program sokongan psikologi, kaunseling serta cuti khas diperkenalkan bagi membantu guru mengurus tekanan kerja, di samping mewujudkan pusat Teacher Wellbeing Hub di setiap negeri,” tambahnya.

Selain itu, kompetensi digital dan profesional guru juga perlu diperkasa dengan menyediakan latihan berterusan dalam bidang teknologi pendidikan, kepimpinan serta inovasi pedagogi di samping memberi pengiktirafan peringkat nasional kepada guru yang berjaya melaksanakan amalan inovatif.

Menurutnya, cadangan itu bukan hanya soal imbuhan semata-mata sebaliknya langkah penting mengembalikan semangat serta rasa bangga bergelar guru.

“Kerajaan perlu segera melihat isu ini dengan serius. Jangan biarkan lebih ramai guru hilang minat dan meninggalkan profesion mulia ini. Demi anak-anak kita, demi Malaysia, maruah dan masa depan guru mesti dipertahankan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast