Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana mengemukakan penyata bank palsu kepada sebuah agensi kerajaan bagi permohonan lesen kenderaan perdagangan.

Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu ke atas Loh Jui Chew, 38, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan dan sekiranya tertuduh gagal membayar denda, dia boleh dikenakan hukuman penjara dua bulan. Tertuduh membayar denda itu.

“Saya harap awak (tertuduh) insaf dan tidak akan melakukan kesalahan pada masa akan datang,” kata Suzana.

Lelaki itu didakwa menggunakan penyata Maybank palsu di Pejabat Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di sini pada 15 September 2022.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang merupakan pemilik sebuah syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2019, menjalankan perniagaan perkhidmatan pengurusan dengan APAD, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Pada 10 Ogos 2022, seorang lelaki telah bertemu tertuduh di pejabatnya di Melaka bagi memaklumkan hasratnya untuk memohon lesen kenderaan perdagangan untuk syarikatnya.

Pada peringkat permohonan surat tawaran kelulusan lesen kenderaan perdagangan, antara dokumen yang perlu dikemukakan ialah dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia, salinan penyata bank tiga bulan terkini, surat tapak parkir kenderaan dan surat kontrak kerja.

Sekitar Ogos 2022 hingga September 2022, tertuduh telah memalsukan penyata akaun Maybank milik mangsa sebelum dokumen-dokumen permohonan itu termasuk penyata akaun bank tersebut diserahkan kepada pegawai kaunter semakan APAD Wilayah Tengah.

Hasil semakan mendapati kesemua dokumen itu telah dilengkapkan dan menepati syarat-syarat permohonan.

Pada 21 September 2022, Jawatankuasa Perlesenan APAD telah meluluskan permohonan surat tawaran lesen kenderaan perdagangan yang dipohon tertuduh tanpa menyedari telah diperdaya dengan permohonan tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Elyza Amira Habeeb Rahman memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kepada tertuduh dan orang awam supaya tidak melakukan kesalahan itu.

“Saya juga mohon mahkamah mengambil kira tertuduh telah memperdaya sebuah agensi kerajaan dengan menggunakan dokumen palsu untuk faedahnya,” katanya.

Peguam Alvin Tan Keng Yi yang mewakili lelaki itu memohon hukuman ringan kerana anak guamnya mempunyai tanggungan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast