KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di simpang masuk Citi Hotel, Jalan Cahaya, Miri, Sarawak, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, mangsa, Andy Macome Atar, 34, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri bergegas ke lokasi sejauh empat kilometer selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 10.26 malam.
“Komander Operasi mendapati seorang penunggang motosikal terperosok di bawah sebuah kereta jenis Perodua Myvi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan KKM.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette
















