Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 348 permohonan perjanjian sewa bagi Program Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) gagal dilanjutkan kerana tidak menepati syarat-syarat lanjutan tempoh.

Jumlah itu merupakan sebahagian daripada 3,379 permohonan lanjut tempoh diterima daripada 5,307 notis yang dikeluarkan dari bulan Januari hingga Julai tahun ini.

Sebanyak 3,031 permohonan telah diluluskan lanjutan tempoh dan menepati syarat-syarat yang ditetapkan.

Menurut DBKL, antara faktor kegagalan yang dikenal pasti termasuklah tunggakan bayaran sewa rumah dan air yang tinggi, pendapatan isi rumah melebihi RM4,000
sebulan, pemilikan rumah dalam radius 35 kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur, mempunyai pasangan bukan warganegara, serta tidak menetap di unit dan menyewakan kepada penyewa tidak sah.

“Bagi penyewa yang gagal melanjutkan tempoh, DBKL mengeluarkan Notis Gagal Lanjut Tempoh dengan memberikan tempoh 30 hari untuk mengosongkan unit serta memulangkan kunci.

“Bagaimanapun, penyewa masih boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh tersebut tertakluk kepada pertimbangan munasabah pihak DBKL,” katanya dalam kenyataan hari ini.

DBKL menegaskan, langkah penguatkuasaan ini dilaksanakan bagi memastikan peluang untuk menduduki unit PA atau PPR diberikan kepada golongan yang benar-benar layak serta bertanggungjawab dalam menjelaskan bayaran sewa bulanan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast