Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Forum Undang-undang ASEAN 2025: Memperkasa Akses kepada Keadilan dalam Komuniti ASEAN: Menjambatani Kerjasama Perundangan untuk Pertumbuhan Inklusif dalam Era Digital ketika di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto MOHD ADZLAN, 21 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Reformasi institusi perlu diteliti secara menyeluruh dan bukan hanya bersandarkan kepada keputusan mahkamah semata-mata.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan perlu menimbang secara seimbang antara kebebasan individu dengan prinsip asas negara supaya reformasi institusi tidak menjejaskan keharmonian negara.

“Institusi reformasi itu harus dikaji bersama, bukan keputusan mahkamah sahaja. Mahkamah beri pandangan dan kita akan teliti. Kalau selari dengan reformasi, ya.

“Maksudnya pandangan mengenai perhimpunan, saya ada masalah kerana Raja-raja kata kebebasan mengadakan perhimpunan, dekat istana bagaimana? Jadi kita kena fikir,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan ASEAN Law Forum 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini yang memutuskan perkataan “jelik” dan “menyakitkan hati” dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebagai tidak berperlembagaan, yang kini sedang dipertimbang untuk dirayu oleh kerajaan.

Dalam masa sama, Anwar berkata, kebebasan bersuara dan berhimpun mesti diimbangi dengan sensitiviti tertentu, termasuk kedudukan institusi diraja yang tidak wajar disentuh.

“Kadang kala dalam keghairahan menegakkan kebebasan, ia boleh menyinggung kawasan atau kedudukan yang kita anggap tidak sepatutnya diberi ruang, seperti perkarangan istana,” jelasnya.

Selasa lalu, Mahkamah Rayuan membatalkan perkataan menghina dan menjengkelkan dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM), berhubung kesalahan bagi penghantaran komen dalam talian.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu selepas mendapati bahawa perkataan ‘menghina’ (offensive) dan ‘menjengkelkan’ (annoy) dalam Seksyen itu adalah tidak berperlembagaan dan bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Perkara 8.

Perkara 10 adalah berhubung kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan manakala Perkara 8 pula menyatakan semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama.

Menurut panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Lee Swee Seng, terdapat merit dalam hujahan perayu, iaitu aktivis Heidy Quah Gaik Li, bahawa tiada kaitan rasional antara komunikasi yang dipersoalkan dan ancaman terhadap ketenteraman awam dalam konteks Seksyen 233 AKM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast