KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) akan dibentangkan di Parlimen mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang mengesahkan perkara itu berkata, keputusan itu dicapai selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKP) Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab di Parlimen petang tadi.
“Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen telah bersetuju supaya RUU PSB diteruskan untuk dibentangkan mengikut jadual, tertakluk kepada beberapa cadangan penambahbaikan yang akan diketengahkan semasa sesi perbahasan kelak,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu hari ini Kor Ming membentangkan bacaan kali pertama RUU tersebut di Dewan Rakyat pada sesi pagi.
RUU PSB 2025 digubal bagi memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil dan inklusif, selaras dengan matlamat kerajaan untuk memperkasakan pembangunan bandar yang mampan dan mesra rakyat. – MalaysiaGazette
















