TELUK INTAN – Selepas kes Zara Qairina Mahathir mendapat perhatian meluas, semakin ramai individu tampil berkongsi pengalaman dibuli semasa di bangku sekolah.
Apabila mengetahui perhimpunan akan diadakan di Menara Condong Teluk Intan untuk menuntut keadilan bagi Zara Qairina, He Wei Hong merupakan antara yang hadir.
Beliau turut menceritakan pengalaman pahitnya sendiri yang dibuli 20 tahun lalu.
Dalam wawancara bersama Sinchew Daily, Wei Hong mendedahkan bahawa pengalaman dibuli ketika berusia 15 tahun di asrama tidak pernah diceritakan kepada sesiapa, termasuk ibu bapanya sendiri.
“Masa itu, saya dibelasah oleh belasan orang senior. Perasaan tidak berdaya dan malu itu masih meninggalkan kesan yang mendalam sehingga hari ini,” katanya.
Mengimbas kembali kejadian pahit itu, Wei Hong berkata, beliau berpindah ke sekolah berasrama ketika di tingkatan satu. Sikapnya yang pendiam menyebabkan senior melabelkannya sebagai sombong.
“Pada satu malam, saya dipanggil ke dalam sebuah bilik di mana ada 20 hingga 30 orang sedang menunggu.
” Saya salah seorang daripada dua mangsa buli di situ. Mereka memaksa saya berlawan dengan seorang lagi mangsa yang tidak dikenali.
“Dalam proses itu, mereka juga memukul dan menendang. Setiap pukulan dan tendangan itu sangat menyakitkan. Saya mahu melarikan diri, tetapi tidak berdaya,” kongsinya.
Selepas kejadian itu diketahui oleh guru disiplin, ketua pembuli dibuang sekolah manakala yang lain digantung persekolahan.
Menurut Wei Hong, pada zaman itu, tiada telefon bimbit atau internet. Pihak sekolah hanya menyediakan kaunseling tetapi tidak memaklumkan ibu bapa, dipercayai untuk menyembunyikan kejadian tersebut.
“Disebabkan tidak mahu membimbangkan orang lain, saya tidak bercerita. Namun, kesannya masih menghantui hingga kini.
“Setiap kali melihat ada kes buli, saya dapat merasakan kesakitan mereka, kerana saya juga pernah dibuli seperti mereka,” katanya.
Wei Hong menasihatkan ibu bapa agar tidak sesekali meremehkan isu buli atau menganggapnya sebagai gurauan antara rakan-rakan.
“Ibu bapa mesti tampil untuk menegakkan keadilan jika anak mereka dibuli. Jangan biarkan anak menanggung dan menderita seorang diri,” tegasnya. – MalaysiaGazette















