KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Malaysia berusia lingkungan 30-an yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Kemboja berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke tanah air dengan bantuan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) semalam.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, operasi menyelamat itu digerakkan selepas pihaknya dihubungi bapa mangsa yang mendapat tahu anaknya menjadi mangsa sindiket penipuan kerja di luar negara.
“Bapa mangsa pada awalnya menyangka tawaran kerja itu sahih kerana tidak mengetahui mengenai kewujudan sindiket pekerjaan palsu di Kemboja.
“Selepas menerima maklumat, kami lakukan penelitian dan identifikasi. Sah, mangsa benar-benar menjadi mangsa pemerdagangan manusia,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas menjemput mangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, di sini, semalam.
Menurut Hishamuddin, mangsa yang mahu dikenali sebagai Vellu itu ditipu dengan tawaran kerja khidmat pelanggan di Poi Pet, Kemboja dengan gaji lumayan AS$1,500 (RM6,339) yang diiklankan melalui media sosial.
Dalam pada itu, Ketua Misi Penyelamat Pemerdagangan Manusia MHO, Azirul Syafiq Sazali yang mengiringi kepulangan mangsa berkata, sepanjang hampir dua bulan ditahan, Vellu berdepan penderaan fizikal dan mental.
“Beliau pernah diarahkan mengangkat bekas air besar berjam-jam seperti latihan ala ketenteraan. Jika gagal mencapai sasaran ditetapkan sindiket, kepalanya dibotakkan, tidak dibenarkan menggunakan tandas, ratusan ketuk ketampi malah pernah tidak diberi makan hingga dua hari,” dedahnya.
Tambahnya, pada peringkat awal, mangsa diberi kebebasan menggunakan telefon dan makanan mencukupi, namun selepas dua minggu semua kebebasan itu ditarik balik.
“Mangsa juga hanya dibenarkan tidur selepas jam 1 pagi, sebelum dipaksa bekerja semula seawal jam 6 pagi,” jelas Azirul.
Hishamuddin berkata, operasi membawa pulang mangsa turut mendapat kerjasama sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Kemboja serta Kedutaan Malaysia di Phnom Penh.
Beliau dalam masa sama mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati terhadap tawaran kerja di luar negara yang menjanjikan pulangan tidak munasabah, khususnya yang diiklankan melalui media sosial.
“Trend sindiket ini semakin meningkat, bukan sahaja di Kemboja, malah di Laos, Myanmar dan Filipina. Modus operandi mereka sama menawarkan gaji tinggi, tiket penerbangan dan penginapan percuma sebelum mangsa dijadikan buruh paksa,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















