KUANTAN – Sebuah pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilapor mengalami kemalangan di Pangkalan Udara Kuantan, di sini pada pukul 9.05 malam tadi.
Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian melibatkan sebuah pesawat F/A-18D Hornet di kawasan landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah (LPSAS).
“TUDM kini sedang mengambil tindakan segera dan akan memaklumkan perkembangan semasa berhubung insiden kemalangan tersebut.
“Semua pihak diminta agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau berita yang tidak sahih,” katanya.
Sebelum itu, beberapa klip video berhubung kejadian itu tular di media sosial memaparkan langit bercahaya jingga serta asap tebal dipercayai dirakam penduduk yang tinggal berhampiran kawasan terbabit. – MalaysiaGazette















