Mohd Hafez Sabri

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) membantah sekeras-kerasnya tindakan tergesa-gesa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming yang mahu membawa Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) 2025 ke bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.

Menurut Timbalan Ketua DPPM, Mohd Hafez Sabri, tindakan tersebut bukan sahaja membelakangi suara rakyat, malah turut mengabaikan pandangan pelbagai pihak termasuk Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi serta sebahagian Ahli Parlimen kerajaan sendiri yang telah menggesa agar isu-isu berbangkit diselesaikan terlebih dahulu.

“Pembentangan secara terburu-buru ini jelas mencetuskan persoalan besar tentang niat sebenar kerajaan dalam memaksa pelaksanaan satu undang-undang yang sangat kritikal kepada masa depan pemilikan hartanah rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, JKPK yang dilantik Parlimen dalam surat rasmi bertarikh 20 Ogos 2025 secara jelas telah meminta agar bacaan kali kedua RUU PSB ditangguhkan sehingga persoalan utama, termasuk nilai ambang persetujuan pemilik dijelaskan sepenuhnya.

“Ini membuktikan bahawa bantahan terhadap RUU ini bukan hanya datang daripada pembangkang, malah, turut dizahirkan oleh institusi Parlimen yang sah,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, nilai ambang yang dicadangkan 70 peratus untuk bangunan melebihi 30 tahun dan 80 peratus bagi bangunan kurang 30 tahun, adalah jauh lebih rendah daripada piawaian antarabangsa.

“Hong Kong menetapkan 90 peratus manakala, Singapura 80 peratus. Bahkan, Ahli Parlimen kerajaan sendiri telah menggesa supaya nilai ambang itu dinaikkan kepada 85 peratus demi melindungi hak pemilik dan penyewa rumah kos rendah,” katanya.

Selain itu, katanya lagi, RUU PSB juga dilihat bercanggah dengan beberapa undang-undang sedia ada seperti Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara, Akta Hakmilik Strata dan Akta Pengambilan Tanah.

Turut menjadi kebimbangan ialah kuasa meluas yang diberikan kepada Menteri tanpa penjelasan terperinci, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada ia boleh menjangkaui kuasa kerajaan negeri, Sultan dan Yang di-Pertuan Agong.

“Potensi penyalahgunaan kuasa ini amat membimbangkan, lebih-lebih lagi melibatkan tanah rizab Melayu dan hak milik individu,” tegas beliau.

Menurut Mohd Hafez, pendekatan yang diambil oleh Kerajaan Madani dalam isu ini menunjukkan kelemahan dalam mendengar suara rakyat serta keengganan untuk mempertimbangkan pandangan wakil rakyat yang diundi secara sah.

“RUU ini menyentuh soal hak pemilikan tanah, pampasan, perumahan kos rendah dan masa depan golongan marhaen di bandar. Maka ia tidak wajar dibawa secara gopoh atau dipaksakan demi kepentingan politik dan pemaju,” katanya lagi.

Justeru, DPPM menyeru seluruh rakyat, khususnya golongan muda, untuk bangkit mempertahankan hak pemilikan tanah dan kediaman mereka.

“Kerajaan mesti menghentikan sikap angkuh dan kembali menghormati suara Parlimen serta hak rakyat. Pemuda Pas mengulangi pendirian bahawa sebarang rang undang-undang yang menyentuh hak rakyat mesti dibawa secara cermat, telus dan berlandaskan prinsip keadilan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast