Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Dua beradik perempuan mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas satu pertuduhan pecah amanah, dua tahun lalu.

Hew Shin Yin, 44 dan adiknya, Shin Hua, 37 meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Izralizam Sanusi dan Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, Shin Yin didakwa selaku akauntan melakukan kesalahan pecah amanah terhadap harta iaitu wang RM6,000 di Jalan Ampang, pada 17 November dan 15 Disember 2023.

Dia didakwa di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 14 tahun dan sebatan, serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara Shin Hua pula didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang RM100,000 milik sebuah syarikat ketika dalam jagaan tertuduh selaku rakan pengarah syarikat, di lokasi sama pada 29 November dan 30 Disember 2023.

Wanita itu dituduh di bawah Seksyen 409 kanun keseksaan yang membawa hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, dan sebat, boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 29 September ini untuk sebutan kes bagi kedua-dua tertuduh.

Dalam pada itu, di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, seorang rakan sekerja mereka, Lee Teik Seng, 41, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan mencuri wang milik syarikat.

Mengikut pertuduhan, dia sebagai pekerja pentadbiran didakwa mencuri wang sebanyak RM71,921.95 milik sebuah syarikat, di lokasi sama pada 5 Oktober 2023 hingga 31 Mac 2024 lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan bagi ketiga-tiga kes dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Wafa Zainal Abidin, Faizah Khalilah Zaberi dan Nurainizatul Farhana Zainal sementara semua tertuduh diwakili peguam Cheow Wee serta Zarchary Yeo.

Mahkamah menetapkan 14 Oktober depan untuk sebutan kes. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast