KUALA LUMPUR – Tindakan DAPSY membantah arahan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) menutup sementara sebuah klinik pergigian yang didapati mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik, disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak patriotik.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Fazreen Fauzi menegaskan, pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik adalah kesalahan serius dan bukannya perkara kecil yang boleh dipandang ringan.

Ini kerana bendera negara adalah simbol maruah, kedaulatan dan kesetiaan rakyat kepada Malaysia.

Justeru, sesiapa sahaja yang melanggar tatatertib mengibarkan bendera wajib dikenakan tindakan tegas tanpa sebarang kompromi.

“GPMS ingin mengingatkan bahawa PBT tidak bertindak sebagai polis moral sebaliknya melaksanakan amanah untuk mempertahankan tatakelola, kesedaran sivik dan kehormatan negara.

“Apa yang lebih membimbangkan ialah sikap DAPSY yang seolah-olah cuba mengabaikan isu Jalur Gemilang serta tidak menunjukkan semangat patriotisme,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, jika DAPSY benar-benar mendukung semangat kebangsaan mereka sepatutnya berdiri bersama mempertahankan Jalur Gemilang bukannya mempertahankan pihak yang menghina bendera Malaysia.

Beliau turut menyifatkan DAPSY juga telah menghina tindakan yang diambil oleh pihak PBT, sehubungan itu perlu memohon maaf segera.

GPMS juga katanya menyeru kerajaan negeri Johor serta kerajaan Persekutuan agar tidak tunduk kepada tekanan politik mana-mana parti dalam isu melibatkan maruah negara. Jalur Gemilang adalah simbol kedaulatan.

Penghinaan terhadapnya wajib dikenakan tindakan keras tanpa sebarang kompromi.

GPMS turut menyeru agar kerajaan segera menjalankan Akta Jalur Gemilang agar tindakan keras dapat dilaksanakan terhadap mereka yang sengaja menghina kehormatan negara.

“Menghina Jalur Gemilang bukan kebebasan, tetapi pengkhianatan,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast