KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) perlu segera menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kemalangan pesawat tempur F/A-18D di Pangkalan Udara Kuantan.
Bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, beliau yakin TUDM akan menjalankan siasatan yang telus akan insiden tersebut.
“Sekiranya ia berpunca sama ada daripada masalah teknikal pesawat atau kesilapan manusia, maka tindakan tertentu perlu diambil oleh pihak TUDM sebagaimana prosedur operasi standard TUDM yang digunapakai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahli Parlimen Tanah Merah itu berkata, hasil siasatan berkenaan kes itu perlu diumumkan kepada orang ramai agar masyarakat mendapat gambaran sebenar mengenai punca kemalangan.
Ikmal Hisham yang juga Ketua Portfolio Pertahanan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) turut menzahirkan rasa dukacita dan sedih atas kejadian itu.
“Saya melahirkan rasa dukacita dan sedih di atas insiden terkini kemalangan udara melibatkan pesawat tempur F/A-18D milik TUDM yang berlaku di Pangkalan Udara (PU) Kuantan, Pahang pada malam 21 Ogos 2025 kira-kira jam 2100H,” katanya.
Beliau mengingatkan, insiden ini adalah kemalangan kedua dalam tempoh seminggu melibatkan aset TUDM selepas pesawat latihan Pilatus PC-7 Mk II terpaksa mendarat cemas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada 19 Ogos lalu.
“Saya ingin menarik perhatian semua bahawa ini adalah insiden kemalangan kedua melibatkan pesawat TUDM dalam masa seminggu selepas sebuah pesawat latihan jenis Pilatus PC-7 Mk II juga terpaksa mendarat cemas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), Alor Setar, Kedah pada 19 Ogos 2025,” katanya.
Walaupun yakin TUDM tidak akan menyembunyikan sebarang maklumat, beliau berharap keadaan juruterbang yang terlibat kekal stabil dan dapat kembali bertugas.
“Saya yakin pihak TUDM tidak akan menyembunyikan punca kedua-dua kemalangan berkenaan, tetapi yang lebih penting lagi saya berharap kesemua juruterbang TUDM yang terlibat berada dalam keadaan sihat dan selamat serta boleh kembali bertugas dalam masa terdekat,” ujarnya.
Ikmal Hisham menambah, kemalangan itu memberi kesan besar terhadap tahap kesiagaan udara negara kerana F/A-18D merupakan aset tempur pelbagai guna yang sangat penting.
“Pesawat F/A-18D merupakan sebuah pesawat tempur yang baik dan mempunyai rekod cemerlang sejak digunakan sekian lamanya.
“Kemalangan udara melibatkan pesawat berkenaan sedikit sebanyak mengurangkan tahap kesiagaan udara TUDM khususnya melibatkan pesawat tempur pelbagai guna (multi-role combat aircraft) yang sangat-sangat diperlukan oleh TUDM bukan sahaja bagi mengawal ruang udara Malaysia, tetapi juga dalam tindakan menghalau pencerobohan pesawat asing yang kerap berlaku di Laut China Selatan,” katanya.
Terbaharu, TUDM telah menubuhkan satu lembaga siasatan telah ditubuhkan bagi mengenal pasti punca nahas sebuah pesawat milik tentera itu.
Menurut Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris, siasatan akan dilaksanakan secara menyeluruh mengikut prosedur keselamatan operasi penerbangan TUDM.
Dua anggota TUDM yang terbabit dalam insiden di kawasan landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah (Pangkalan Udara Kuantan) pada jam 9.05 malam tadi, dilaporkan selamat dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk pemeriksaan lanjut. – MalaysiaGazette
















