KUANTAN – Satu Lembaga Siasatan (BOI) telah ditubuhkan bagi mengenalpasti punca kemalangan sebuah pesawat pejuang F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah (LPSAS), malam tadi.
Panglima Tentera Udara (PTU), Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, pasukan penyiasat akan memulakan tugas hari ini dan memberikan laporan awal secepat mungkin.
“Secara kebiasaannya, laporan penuh dapat disiapkan dalam tempoh tidak lebih 14 hari,” katanya dalam sidang media di Pangkalan Udara Kuantan, di sini, hari ini.
Terdahuu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden membabitkan pesawat yang dikenali dengan panggilan Hornet itu.
“Pihak berkuasa diminta menjalankan siasatan yang menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian dan memastikan langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya diambil,” kata Anwar dalam satu kenyataannya, hari ini.

Sementara itu, Muhamad Norazlan memberitahu, beliau telah pergi ke kawasan kemalangan untuk melihat sendiri keadaan pesawat dan boleh katakan pesawat musnah sepenuhnya.
“Berdasarkan video, kita tidak boleh mengatakan ia (kemalangan) berpunca daripada burung (bird strike) atau serpihan benda asing (FOD) iaitu batu yang masuk semasa berlepas dan sebagainya atau mungkin kegagalan enjin.
“Pesawat ini dilengkapi dengan sistem kotak hitam dan data collector. Kita akan tengok apa kemungkinan kepada kemalangan tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhamad Norazlan berkata, beliau telah melawat kedua-dua anak kapal terlibat iaitu Mejar Mohamad Azhar Alang Kamarudin, 34 (Juruterbang) dan Kapten Mohamad Izzuddin Mohamad Salleh, 31 (Jurusensor Senjata).
Kedua-dua mereka dilaporkan telah menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) malam tadi susulan kecederaan kecil dan telah didiscaj awal pagi tadi.
“Saya bersyukur kerana kedua-dua anak kapal tersebut telah mangambil tindakan sewajarnya dengan menyelamatkan diri mereka dari pesawat.
“Saya ingin melaporkan tiada kecederaan serius dialami anak-anak kapal dan hanya kecederaan kecil dan lebam-lebam sahaja,” katanya.
Menurut Muhamad Norazlan, ketika kejadian, pesawat F/A-18 daripada No. 18 Skuadron yang berpangkalan di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang itu sedang melakukan latihan terbang malam rutin.
Pesawat itu sebelum ini ditempatkan di Pangkalan Udara Kuantan sebagai detasmen sementara menunggu landasan Pangkalan Udara Butterworth yang sedang dinaik taraf.
Berikutan kejadian malam tadi, beliau berkata, TUDM menggantung semua operasi penerbangan membabitkan pesawat tempur F/A-18D Hornet berkuatkuasa hari ini sehingga siasatan punca kemalangan dikenalpasti. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















