KUALA LUMPUR – Waktu operasi di Stesen Masjid Jamek dan Pasar Seni akan dilanjutkan sehingga jam 1 pagi pada malam esok (23 Ogos 2025) dan 24 Ogos.
Lanjutan operasi itu susulan program Malam Himpunan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza yang akan berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur yang akan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataannya berkata, stesen-stesen lain akan ditutup seperti biasa namun penumpang masih boleh keluar di semua stesen untuk meneruskan perjalanan pulang mereka.
Para penumpang digalakkan untuk menggunakan kad Touch ‘n Go bagi perjalanan yang lebih lancar dan mengelakkan kesesakan ketika masuk dan keluar stesen.
Bagi yang menggunakan token, disarankan agar membeli token pergi dan balik lebih awal, sebelum meninggalkan stesen.
Rapid Rail juga katanya akan menempatkan kakitangan tambahan di lokasi-lokasi strategik bagi membantu pergerakan penumpang dan memastikan aliran trafik di dalam stesen berjalan lancar.
Penumpang yang memerlukan bantuan digalakkan untuk mendapatkan pertolongan daripada petugas stesen. -MalaysiaGazette





![[RAPID RAIL] Notis - Informasi Perjalanan](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2025/08/RAPID-RAIL-Notis-Informasi-Perjalanan-681x681.jpeg)










