KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi menetapkan 31 Oktober ini bagi mendengar permohonan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid untuk mencelah dalam permohonan kerajaan yang mahu menghalangnya berurusan dengan aset luar pesisir bernilai berbilion ringgit.
Aset itu berjumlah AS$157.5 juta (kira-kira RM667 juta) dan GBP85 juta (kira-kira RM4.9 bilion) yang terletak di Jersey, sebuah wilayah naungan Mahkota British.
Tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin pada sesi pengurusan kes hari ini. Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Jumaat mengetuai pasukan pendakwa raya manakala peguam Nurul Najwa Zainuddin mewakili balu Tun Daim Zainuddin.
Pada prosiding itu, Mahadi memaklumkan pihak pendakwaan selaku responden telah memfailkan afidavit balasan pada 30 Julai lalu.
“Kami juga telah menerima afidavit jawapan daripada pemohon (Na’imah) dan kami juga tiada halangan terhadap permohonan beliau untuk mencelah,” ujar Mahadi bersama-sama TPR Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal yang turut mewakili pendakwaan.
Na’imah memohon menjadi pencelah dalam permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mahukan perintah bagi menghalang beliau menguruskan aset di Jersey.
SPRM memfailkan permohonan itu mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Permohonan itu difailkan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Maziah Mohaide susulan siasatan mengikut Seksyen 113 Akta Cukai Pendapatan dan Seksyen 4(1) AMLATFPUAA.
Pendakwaan menyatakan aset tersebut diperoleh oleh Na’imah atau individu yang mempunyai kaitan dengannya di Malaysia namun tidak diisytiharkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ini merupakan permohonan ketiga difailkan oleh pihak pendakwaan selepas dua permohonan terdahulu membabitkan aset di United Kingdom dan Singapura.
Pada 22 Mei lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan bahawa lapan kertas siasatan telah dibuka berdasarkan maklumat baharu daripada agensi luar negara berhubung aset milik Daim, keluarganya dan proksi.
Azam berkata, maklumat terkini menunjukkan aset tersebut tidak diisytiharkan semasa siasatan SPRM pada 2023. – MalaysiaGazette
















