Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP WAN Azlan Wan Mamat.

PETALING JAYA – Polis merampas dadah disyaki syabu seberat lebih 220 kilogram (kg) bernilai RM7 juta di dalam kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di SS17, Subang Jaya pada 13 Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kemalangan melibatkan kereta jenis Honda Civic pada 11.30 pagi.

“Anggota polis yang tiba mendapati tiada pemandu di dalam atau luar kereta di lokasi insiden sebelum pemeriksaan menemui 11 guni berisi 208 bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki syabu dengan anggaran berat 220,160 gram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, di sini, hari ini.

Susulan itu, beliau berkata pihaknya sedang mengesan individu dikenali sebagai Mohd Rahmat Hanafi berusia 32 tahun yang beralamat di Rantau Panjang, Kelantan selepas kad pengenalan lelaki tersebut ditemui di dalam kenderaan terbabit, bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, semakan mendapati lelaki tersebut mempunyai 15 rekod jenayah dan dadah manakala kenderaan yang terbabit menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Wan Azlan berkata, semakan awal mendapati suspek masih berada di dalam negara dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman kamera papan pemuka diminta menghubungi pengawai penyiasat Insp Mohamad Saifullah Rosdi di talian 017-9065674 atau balai polis berhampiran,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast