Masrizal Mahidin

KUALA LUMPUR – Gabungan eHailing Malaysia (GEM) menyifatkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 sebagai satu titik bersejarah dalam landskap perburuhan negara yang memberi pengiktirafan rasmi kepada lebih 1.2 juta rakyat Malaysia yang bergantung kepada sektor pekerjaan gig.

Ketua Aktivis GEM, Jose Rizal berkata, RUU itu bukan sahaja bertujuan mengangkat martabat pekerja gig, malah menjadi benteng undang-undang terhadap pelbagai bentuk ketidakadilan yang telah lama membelenggu mereka termasuk ketidakstabilan pendapatan, ketiadaan jaminan sosial serta eksploitasi sistemik oleh pihak berkepentingan.

“Undang-undang ini bukan milik mana-mana parti, bukan milik individu, dan bukan sekadar agenda kerajaan. Ia adalah hak rakyat. Maka setiap Ahli Parlimen, tanpa mengira blok politik, wajib berdiri menyokongnya,” katanya dalam kenyataan.

Menurut GEM, penolakan terhadap RUU tersebut merupakan pengkhianatan terhadap pekerja gig yang setiap hari berkorban demi menggerakkan ekonomi negara sama ada di jalan raya, restoran, platform digital atau ruang bandar.

Jose turut mendedahkan wujudnya usaha melengahkan kelulusan RUU berkenaan yang didakwa datang daripada pelobi-pelobi yang mempunyai kepentingan termasuk dalam kalangan ahli politik dan pengendali platform tertentu.

“Mereka mahu mengekalkan status quo kerana menikmati keuntungan daripada keringat pekerja gig yang tidak dilindungi.

“Kepada mereka, kami beri peringatan, jangan jadi duri dalam daging. Mengkhianati pekerja gig bukan sekadar pengkhianatan terhadap komuniti, ia adalah pengkhianatan terhadap negara,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan bahawa sebarang tekanan, propaganda dan manipulasi fakta tidak akan melemahkan perjuangan pekerja gig yang kini semakin sedar, celik dan bersatu.

Katanya, rakyat Malaysia tidak kira daripada golongan pekerja gig atau tidak perlu berdiri bersama menyokong usaha bersejarah ini demi sebuah sistem pekerjaan yang lebih adil, berperikemanusiaan dan seimbang.

Dalam pada itu, GEM turut menzahirkan penghargaan terhadap keberanian politik yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Sumber Manusia dan Kesejahteraan Rakyat (KESUMA) serta barisan penjawat awam yang terlibat dalam merangka dan memacu RUU tersebut.

“Reformasi bukan lagi sekadar slogan; ia kini diterjemahkan dalam bentuk dasar yang nyata melindungi rakyat terbanyak,” tambahnya.

RUU Pekerja Gig 2025, yang dijadualkan dibentang dan diluluskan di Parlimen minggu hadapan, menurut GEM, bakal menjadi simbol kepada masa depan yang lebih bermaruah bagi para pekerja gig dan cerminan kepada maruah negara itu sendiri.

“Dengan kelulusan RUU ini, kita melangkah keluar daripada belenggu ekonomi gig yang rapuh menuju ke arah ekosistem pekerjaan yang lebih adil dan bermaruah. RUU Pekerja Gig 2025 adalah suara rakyat, perisai pekerja, dan cerminan maruah negara,” katanya.

Jose Rizal menyeru semua pihak agar tidak menjadi penghalang kepada perlindungan yang sekian lama dijanjikan kepada golongan pekerja gig. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast