KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig yang akan dibentangkan tidak lama lagi bakal memberi perubahan besar terhadap kumpulan tersebut termasuk mereka yang terlibat dalam industri kreatif seperti perfileman, muzik dan seni.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata, beliau dan kementeriannya telah diberi amanah besar oleh kerajaan bagi memastikan perkara itu dapat dicapai.
“Saya tak boleh duduk diam di rumah. Saya kena pergi bentang satu RUU baharu, yang kita panggil sebagai pekerja gig. Tujuannya jelas, untuk elak kejadian yang tidak diingini kepada para pekerja kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Gala Pelancaran Penjenamaan Lindung oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di sini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Menurut Steven, tidak ada siapa pun yang mengetahui mengenai musibah yang bakal menimpa dan ia boleh terjadi pada bila-bila masa tanpa amaran.
“Kita hanya mampu merancang, tetapi apabila bencana melanda, tiada siapa yang tahu. Kita tak mahu pekerja kita senasib seperti Allahyarham Sharifuddin Shaari (pemandu e-hailing yang terkorban dalam tragedi pesawat terhempas di Elmina, Seksyen U16, Shah Alam). Sekurang-kurangnya, dengan adanya perlindungan ini, mereka akan terjaga nasibnya,” ujarnya.
RUU baharu itu katanya, turut dijayakan dengan kerjasama semua pihak termasuk pelbagai agensi lain dalam usaha merangka dasar yang mampu memberi manfaat kepada lebih 1.2 juta pekerja di Malaysia.
Menurut beliau, perjuangan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) bukan sekadar melindungi, tetapi mengangkat martabat para pekerja di Malaysia.
Katanya, setiap tahun PERKESO kutip lebih kurang RM7.6 bilion dan ia bukan untuk disimpan sebaliknya untuk dikembalikan semula kepada pencarum. Lebih kurang RM3.4 bilion sebagai faedah, pencen, rawatan dialisis, rehabilitasi dan sebagainya.
Mengulas mengenai isu keilatan, beliau berkata keputusan permohonan tidak ditentukan oleh menteri tetapi oleh panel perubatan bertauliah yang melibatkan tiga orang doktor perubatan profesional.
Menurut beliau, permohonan juga boleh dirayu kepada panel lain jika perlu.
“Ramai yang komplen kenapa permohonan mereka ditolak. Tapi, saya tak boleh luluskan sesuka hati. Saya bertanggungjawab kepada pencarum. Dana ini perlu dijaga, jika tidak, yang layak nanti akan teraniaya.
“Kalau saya nak popular, memang senang saya luluskan semua permohonan. Tapi, ini bukan soal populariti, ini soal amanah,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















