Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengedarkan jalur gemilang kepada orang awam pada program “Denyut Nadi Merdeka”: Rapid KL Hidupkan Semangat Bulan Kebangsaan 2025 di Stesen Pasar Seni. Foto MUHAIMIN MARWAN, 23 OGOS 2025

KUALA LUMPUR – Datuk Fahmi Fadzil menafikan dakwaan kononnya wujud campur tangan  pihak lain hingga mempengaruhi keputusan Kabinet.

Menteri Komunikasi berkata, dakwaaan itu adalah idak benar kerana sebarang perbincangan dalam mesyuarat Jemaah Menteri berstatus rahsia dan tidak boleh didedahkan.

“Langsung tidak ada (campur tangan pihak lain dalam keputusan kerajaan).

“Saya hadir hampir setiap mesyuarat Jemaah Menteri. Keputusan dibuat adalah keputusan yang diputuskan dalam Jemaah Menteri…tidak ada (campur tangan atau pengaruh) mana-mana pihak lain.

“Jadi itu bagi saya tak benar,” katanya kepada media selepas meluncurkan Kempen Denyut Nadi Merdeka dan Pengumuman Operasi Rapid KL Sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-68  di LRT Pasar Seni, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan.

Fahmi berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam podcastnya baru-baru ini apabila mengaitkan bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Farhash Wafa Salvador yang didakwa mempunyai pengaruh besar dalam keputusan dibuat kerajaan.

Rafizi mendakwa, persepsi itu amat berbahaya dan perlu ditangani oleh kerajaan sebaiknya.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Madani menegaskan, perkara berkenaan tidak sepatutnya dibincangkan secara terbuka dengan mana-mana pihak yang berbuat demikian kerana boleh diambil tindakan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).

“Sebenarnya perbincangan dalam Jemaah Menteri itu adalah berstatus rahsia, rahsia besar…di mana sekiranya diketahui, OSA terpakai.

“Jadi sekiranya ada tuduhan oleh mana-mana pihak, boleh dibuat laporan polis dan pihak berkuasa akan ambil tindakan.

“Saya sebenarnya baru mendengar (isu dibangkitkan Rafizi dalam podcast), saya tak tonton (podcast Rafizi),” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast