KUALA LUMPUR – MOMOYO, jenama minuman teh inovatif melakar sejarah apabila melancarkan aiskrim yang boleh diterbalikkan pertama di Malaysia, YoFlip Batik Edisi Terhad Hari Kebangsaan.
Pengurus Besar MOMOYO Malaysia, Alex Tan berkata, dengan rekaan unik cawan boleh dibalikkan dan tidak tumpah, YoFlip memberikan kejutan yang menyeronokkan dalam setiap hidangan.
Beliau berkata, edisi batik itu menampilkan rekaan cawan istimewa yang diinspirasikan daripada warisan batik ikonik Malaysia bagi menggabungkan keseronokan, kelembutan berkrim dan kebanggaan budaya dalam satu sajian mudah alih.
“Ia bukan sekadar aiskrim, ia tentang meraikan kreativiti Malaysia, warisan budaya serta semangat perpaduan dalam satu cawan yang boleh digenggam, dibalikkan dan dinikmati.
“YoFlip Batik Edisi Terhad boleh didapati di semua cawangan MOMOYO di seluruh negara mulai 29 Ogos 2025 sementara stok masih ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Ditubuhkan pada 2022, MOMOYO mencipta segmen tersendiri menerusi strategi harga berpatutan, menawarkan teh buah segar dan aiskrim dalam julat harga RM5 hingga RM10, memudahkan pengguna menikmati minuman berkualiti tanpa tekanan kewangan.
Jenama itu menggunakan buah-buahan segar dalam semua produk dan telah melengkapkan pensijilan halal dengan 99 peratus kakitangan adalah rakyat Malaysia.
Mengulas lanjut, Alex berkata, sejak memasuki pasaran Malaysia pada April 2024, jenama itu telah membuka lebih 150 cawangan di seluruh negara.
Beliau berkata, dengan keunikan produk yang lain dari lain, syarikat menyasarkan pengembangan kepada 250 cawangan tahun ini.
Katanya, ia akan diikuti oleh 300 hingga 400 cawangan pada 2026 dengan matlamat utama untuk mencapai 600 cawangan yang meliputi semua bandar utama dengan dua pertiga pasaran di seluruh negara.
Menurutnya, MOMOYO juga merancang untuk melancarkan enam hingga kapan produk baharu setiap tahun termasuk rangkaian ‘kegemaran’ Malaysia yang menampilkan kopi putih, teh buah durian, aiskrim Milo dan minuman ais limau.
“Produk bakeri juga akan diperkenalkan pada masa hadapan bagi memperkayakan menu. Selain itu, MOMOYO menawarkan sokongan menyeluruh termasuk rantaian bekalan yang mantap, operasi piawai, latihan sistematik, sistem keahlian dan integrasi platform penghantaran.
“Daripada pemilihan tapak dan reka bentuk cawangan kepada latihan operasi, MOMOYO menyediakan bantuan dari hujung ke hujung, ditambah dengan kos permulaan berpatutan untuk menggalakkan keusahawanan,” katanya. – MalaysiaGazette
















