KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) memandang serius pengumuman Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengenai perjanjian operasi bersama (JV) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Menurut Ketua Penerangan Putra, Shahrulufti Sharif, walaupun parti itu tidak menolak kerjasama antarabangsa namun timbul persoalan besar apabila Malaysia menanggung keseluruhan kos pembinaan ECRL manakala syarikat asing tetap memperoleh keuntungan tanpa menyumbang modal.
“Kenapa Malaysia hanya dapat 80 peratus keuntungan operasi sedangkan kita tanggung 100 peratus kos?
“CCCC tidak keluarkan satu sen pun tetapi tetap menikmati 20 peratus keuntungan operasi. Jika projek ini mengalami kerugian, Malaysia pula perlu menanggung separuh daripadanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, ia bukan sekadar isu teknikal tetapi melibatkan soal keadilan ekonomi dan maruah negara yang perlu dipertahankan.
Katanya, beberapa fakta penting perlu difahami rakyat berkait perkara berkenaan antaranya MRL adalah dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia dan semua aset ECRL kekal milik negara.
“Perjanjian JV ini hanya melibatkan aspek operasi dan penyelenggaraan, bukan pemilikan asset dan CCCC tidak mengeluarkan sebarang modal dalam JV tersebut.
“Namun begitu, keuntungan diagihkan 80-20 antara MRL dan CCCC manakala kerugian pula ditanggung secara 50-50,” katanya.
Sehubungan itu Putra mendesak agar Menteri Pengangkutan memberi penjelasan terbuka kepada rakyat mengenai rasional di sebalik perjanjian tersebut, bukan sekadar melalui kenyataan media sepihak.
Ujarnya, Menteri Pengankutan juga perlu mendedahkan dokumen JV kepada umum bagi semakan bebas oleh pakar ekonomi dan undang-undang serta menjalankan audit bebas terhadap struktur JV dan implikasi kewangan kepada negara.
“Rakyat berhak tahu, adakah ini satu bentuk penyerahan keuntungan strategik kepada pihak luar yang diselindungkan di bawah nama ‘kerjasama’?
“Jika menteri gagal menjawab, maka persoalan ini perlu dijawab oleh pihak kerajaan secara telus,” tegas Shahrulufti.
Katanya lagi, Putra menegaskan akan terus bersuara demi memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan secara adil, telus, dan memberi impak tinggi kepada negara. – MalaysiaGazette
















