JOHOR BAHRU- Satu gempa bumi lemah dengan skala 4.1 magnitude berlaku daerah Segamat pukul 6.13 pagi tadi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam Facebook miliknya mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan akan terus memantau keadaan tersebut.
“Gegaran dirasai di kebanyakan kawasan di Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Selatan Pahang.
“Jabatan Meteorologi Malaysia akan terus memantau keadaan ini,” menurut hantaran tersebut.
Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam Facebook miliknya berkata, pihaknya sudah menghubungi Pegawai Daerah Segamat, Mohd Ezzuddin Sanusi bagi mengetahui kejadian itu.
Menurutnya, beliau dimaklumkan bahawa setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan.
“Kerajaan Negeri Johor sedang memantau keadaan ini dengan teliti bersama agensi berkaitan. Nasihat saya kepada rakyat, jauhi struktur-struktur tidak kukuh dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa.
“Pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan terus membuat pemantauan rapi dan mengeluarkan makluman dari semasa ke semasa.
“Marilah kita sama-sama berdoa agar negeri Johor serta seluruh negara sentiasa dilindungi daripada sebarang musibah,” katanya.- MalaysiaGazette















