KUALA LUMPUR – Tuduhan kononnya wujud ‘pasukan sorak’ Menteri Besar Terengganu di hadapan pentas pada program himpunan besar-besaran peminat motosikal RXZ di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus semalam, adalah tidak berasas dan bersifat fitnah semata-mata.
Sebaliknya, menurut Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Teregganu, Mohd Soud Said, individu berkenaan merupakan peminat permotoran biasa yang menolak usaha mempolitikkan acara itu bukan pasukan di bawah arahan sesiapa.
Jelas beliau, sorakan mereka adalah manifestasi suara hati rakyat yang tidak suka melihat acara santai seperti himpunan itu dijadikan bahan catur politik elit.
Malah, ujarnya, kumpulan itu hadir untuk menikmati suasana dan meraikan semangat komuniti ketika ada masyarakat setempat yang sanggup menyediakan penginapan, minyak dan makanan percuma demi memastikan tetamu luar disambut meriah.
“Tohmahan yang mengatakan mereka pasukan sorak Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (Menteri Besar Terengganu) hanya bertujuan mengalih tiang gol dan menyorok malu diri sendiri akibat ditolak peminat permotoran dan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, himpunan selama dua hari yang turut dihadiri Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin itu terpalit kontroversi selepas dikaitkan dengan dakwaan campur tangan politik.
Ia selepas program yang menghimpunkan kira-kira 150,000 peserta dari seluruh negara itu menyaksikan tiada penglibatan wakil kerajaan Terengganu sebagaimana kebiasaan sebelum ini.
Malah Ahmad Samsuri menerusi laman sosial medianya turut memohon maaf kerana tidak dapat menyertai acara yang ditunggu-tunggu peminat motosikal dua lejang dari dalam dan luar negara itu.
“Saya mohon maaf kerana tidak dapat bersama menunggang RXZ bagi meraikan anda semua.
“Apa boleh buat, bila politik berpanjangan 24 jam dengan syarat itu dan ini, akhirnya saya dan pimpinan kerajaan negeri yang sentiasa bersama anda telah ditiadakan,” tulisnya di laman sosial Facebook beliau pada Jumaat lalu.
Sementara itu, Soud berkata, Kerajaan Negeri Terengganu melalui Ahmad Samsuri sentiasa memberikan sokongan kepada penganjuran acara yang bermanfaat kepada rakyat melalui penyediaan fasiliti, promosi dan bantuan keselamatan.
“Fitnah dan manipulasi fakta untuk memburukkan Terengganu adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab,” katanya. – MalaysiaGazette
















