Foto: FB Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan

KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan label `ternak walaun seawal prasekolah’ yang dilemparkan terhadap institusi pendidikan yang dikendalikan parti itu termasuk Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) sebagai tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab.

Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Pusat, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, perkataan `ternak’ yang digunakan juga disifatkan melampau dan tidak berakhlak kerana seolah-olah meletakkan murid-murid Pasti setaraf dengan haiwan.

Hakikatnya, kata beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, institusi pendidikan di bawah Pas bukan medan politik kepartian tetapi institusi pendidikan awal kanak-kanak yang mendidik generasi muda dengan nilai Islam, akhlak mulia dan asas akademik.

Malah, ujarnya, institusi pendidikan itu termasuk Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (Sriti) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (Smiti) telah terbukti melahirkan kemenjadian murid yang holistik.

“Menyamakan pendidikan berasaskan Islam dengan istilah ‘penternakan’ adalah penghinaan terhadap usaha pendidikan yang ikhlas serta satu bentuk diskriminasi kepada ibu bapa yang memilih Pasti untuk anak-anak mereka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Penggerak NGO Rakan Nasionalis Moderat, Muhammad Faiz Na’aman seperti disiarkan menerusi sebuah portal berita semalam yang menggesa kerajaan menilai semula institusi Pasti; Sriti dan Smiti kerana mendakwa ia tidak wajar beroperasi secara langsung di bawah parti politik.

Sementara itu, Mohamed Fadzli berkata, sebagai sebuah parti politik, Pas dibenarkan dan berkemampuan menjalankan aktiviti yang menyokong akidah Islam dan nilai-nilai keislaman dalam bidang pendidikan, sosial, ekonomi dan pemerintahan selaras dengan Fasal 6(2) Perlembagaan Pas.

Sehubungan itu, menurutnya, kewujudan pusat pendidikan di bawah kendalian Pas adalah sepenuhnya sah kerana merupakan manifestasi langsung daripada objektif perjuangan sebagaimana termaktub dalam perlembagaan parti itu.

“Tidak ada apa-apa aspek yang bercanggah dengan Akta Pendidikan atau batasan Perlembagaan Parti; sebaliknya Pasti, Sriti dan Smiti bertindak sebagai platform pendidikan berteraskan Islam yang dituntut oleh roh perjuangan parti,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Fadzli mengulangi penegasan yang mana guru-guru yang berkhidmat di Pasti adalah sukarelawan, bukan pekerja bergaji tetap atau formal di bawah struktur penggajian.

Jelasnya, guru-guru berkenaan tidak tertakluk kepada definisi `pekerja’ menurut mana-mana Akta Perburuhan atau akta lain berkaitan.

“Segala bantuan atau “elaun” yang diberikan adalah berdasarkan insentif sukarelawan, bukan sebagai hak pekerjaan tetap.

“Oleh itu, kewajipan gaji minimum tidak boleh diaplikasikan kepada mereka,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamed Fadzli menyeru semua pihak melihat Pasti; Sriti dan Smiti sebagai usaha pendidikan yang mulia dan berpandukan Islam.

Dalam masa sama, beliau mengalu-alukan seluruh masyarakat berbilang kaum menghantar anak-anak menerima dan menimba ilmu di institusi berkenaan dalam usaha membentuk generasi rabbani dan murabbi berteraskan al-Quran dan al-Sunnah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast