Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu, Mohd Zulfadli Amiruddin

KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Lokman Noor Adam menyerang Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh secara terbuka bukan sahaja menjejaskan parti bahkan membuka ruang kepada musuh politik untuk mentertawakan perpecahan mereka.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu, Mohd Zulfadli Amiruddin berkata, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) itu sepatutnya menjadi teladan bukan liabiliti.

“Menyerang seorang Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang bekerja keras mengangkat suara anak muda dan mempertahankan maruah parti adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan menyalahi semangat kesetiaan kepada perjuangan.

“Dr. Akmal tampil lantang bersuara dalam isu-isu yang menyentuh kepentingan rakyat, agama dan bangsa ketika ramai memilih untuk berdiam.

“Justeru, segala perbezaan pandangan wajar dibincangkan dalam mesyuarat parti, bukan dijaja di media sosial atau pentas terbuka hingga memecah-belahkan kesatuan ahli,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sebelum ini, video tular berdurasi lebih seminit, Lokman mendakwa selain menjadi ‘orang’ H2O (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein), Dr Akmal dikatakan menjadi ejen pemecah hubungan antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

Lokman juga mendakwa tindakan Dr Akmal itu menjadi matlamat H2O yang ingin membawa UMNO kepada Perikatan Nasional dan membantu menjayakan agenda Ahli Parlimen Sembrong itu.

Zulfadli juga berkata, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu berdiri teguh di belakang Dr. Akmal dan menyeru semua pihak agar menghentikan politik menyerang sesama sendiri.

“Musuh sebenar kita ialah pihak lawan di luar sana bukan pemimpin muda di dalam parti sendiri. UMNO tidak akan ke mana jika terus dibelenggu sikap seperti ini.

“Datuk Lokman harus berhenti menjadi beban dan kembali ke landasan memperkukuhkan parti, bukan menghancurkannya dari dalam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast