Rampasan makanan serta sitaan bernilai RM339,669.

PADANG BESAR – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara berjaya menumpaskan cubaan menyeludup masuk pelbagai produk makanan dan minuman tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu operasi di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, Khamis lalu.

Menurut Komander Briged Utara PGA, SAC Shahrum Hashim, Op Taring Wawasan Kedah/Perlis yang dijalankan Kompeni ‘A’ Batalion 1 PGA Ulu Kinta, Perak itu pada mulanya menahan sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso warna putih yang berada dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah stesen minyak di Padang Besar.

Jelas beliau, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu membawa kepada penemuan pelbagai produk makanan dan minuman dipercayai diimport dari negara jiran yang tidak berdaftar dengan KKM.

“Jumlah keseluruhan rampasan membabitkan pelbagai produk makanan dan minuman tidak berdaftar dengan KKM serta sebuah lori Mitsubishi Fuso putih dengan nilai anggaran sebanyak RM339,669.

“Selain itu, lelaki tempatan berusia 41 tahun yang juga pemandu lori tersebut turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Peraturan 9 Akta Makanan 1985 kerana memiliki produk makanan dan minuman yang diimport atau diedarkan di Malaysia tanpa label jelas.

“Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

“Kit juga sedang giat menjalankan pengawasan dan pemeriksaan di sempadan utara negara bagi mengekang sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“Briged Utara PGA akan terus komited dan konsisten dalam menggerakkan tindakan penguatkuasaan serta tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menyeru masyarakat agar menjadi mata dan telinga dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung sebarang kegiatan menyalahi undang-undang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast