KUALA LUMPUR – Usul yang dibawa dan diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang membantah semakan semula perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) hanyalah gimik politik murahan.
Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, hakikatnya SST lapan peratus hanya dikenakan kepada barangan mewah bukan barang asas harian.
“Beras, minyak masak, gula, tepung, sayur dan ikan tidak terlibat langsung. Jadi hujah kononnya rakyat marhaen terbeban adalah pembohongan semata-mata,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Rabu lalu, media melaporkan sidang DUN Kedah meluluskan usul mendesak Kerajaan Persekutuan mengkaji semula pelaksanaan SST yang didakwa memberi kesan langsung kepada rakyat.
Usul itu dicadangkan oleh wakil rakyat kerajaan, Ahmad Sulaiman (Belantek–Pas) dan dipersetujui sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bersidang di hadapan Timbalan Speaker, Abdul Razak Khamis.
Mahfuz berkata, masalah sebenar rakyat Kedah ialah keputusan kerajaan negeri sendiri pimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Pas yang menaikkan tarif air dan premium tanah.
“Kenaikan dua isu ini semakin menekan petani, peneroka kecil, malah pemaju kecil malah hal tersebut tidak ada kaitan dengan Kerajaan Persekutuan.
“Jelas Kerajaan Negeri Kedah cuba lari daripada tanggungjawab dengan mengalih perhatian rakyat kepada isu SST.
“Kalau benar prihatin, mengapa diam seribu bahasa bila rakyat mengeluh tentang air dan premium tanah? Kenapa kenaikan ini dikatakan tidak bebankan rakyat sedangkan semakan semula SST untuk barang mewah.
“Adakah ADUN Kedah merupakan pengguna barang mewah yang dinaikkan SST. Nampaknya Adun Pas dan PN DUN Kedah bukan ketahuan kepala ekoq,” katanya.
Kata Mahfuz lagi, walaupun kenaikan tarif air dengan kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air (SPAN) namun terpulang kepada kerajaan negeri dalam menentukan kadar bayaran air dan premium tanah.
“Masalahnya Kerajaan Kedah pimpinan Sanusi hanya tahu mempersoalkan semakan semula SST yang dikenakan pada barangan mewah. Tak salah nak naik tapi jangan hanya pandai menyalahkan Kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan semak semula SST untuk pulangkan kembali pada rakyat khususnya asnaf dan B40. Kerajaan Kedah pulangkan apa.
“Usul SST oleh DUN Kedah tidak lebih daripada cubaan menutup kelemahan sendiri. Masalah besar rakyat Kedah hari ini datang daripada dasar kerajaan negeri pimpinan Sanusi bukan daripada SST,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















