Mohamed Haniff Khatri Abdulla

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menolak saman peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang menuntut Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan tiga pemimpinnya membayar RM12.5 juta sebagai yuran guaman bagi tempoh perkhidmatan selama empat tahun.

Hakim Datuk Akhtar Tahir berpuas hati, tuntutan Mohamed Haniff (plaintif) tidak berasas kerana khidmat guaman kepada parti itu antara tahun 2016 dan 2020, diberikan secara sukarela.

Beliau menyatakan, bukti yang dikemukakan kepada mahkamah menunjukkan khidmat itu tidak tertakluk kepada sebarang perjanjian pembayaran kerana plaintif tidak pernah mengeluarkan bil atau berbincang mengenai bayaran.

Ujar Hakim Akhtar, bukti yang dikemukakan ialah ketika parti ini ditubuhkan, terdapat perkhidmatan sukarela yang diberikan pelbagai pihak termasuk peguam.

Mahkamah turut berpendapat, perbuatan defendan (Bersatu) tidak bertindak terhadap tuntutan khidmat guaman yang diberikan, adalah wajar kerana tiada persetujuan awal dilakukan untuk membuat pembayaran.

Mahkamah turut memerintahkan Mohamed Haniff membayar kos RM150,000 kepada Bersatu.

Peguam itu memfailkan saman pada 2021 untuk menuntut yuran guaman berjumlah RM12.5 juta daripada Bersatu.

Selain Bersatu, beliau turut menamakan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Bendahari, Datuk Salleh Bajuri sebagai defendan pertama hingga keempat.

Antara khidmat didakwa diberikan kepada parti itu ialah perkara berkaitan pendaftaran Bersatu dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), menguruskan kes mahkamah bagi pihak parti dan isu pembabitan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Dalam tuntutannya, Mohamed Haniff mendakwa, sebelum memfailkan saman itu, beliau telah mengeluarkan invois kepada parti untuk perkhidmatan yang diberikan tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas.

Bagaimanapun, dalam pembelaannya, Bersatu mendakwa perkhidmatan peguam itu diberikan secara ‘pro bono’ (tanpa caj) antara 2016 dan 2020. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.