Kasut kanak-kanak autism yang hilang ditemui berhampiran anak sungai di Jalan Kim Chu Shin, Kuching, Sarawak.

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak lelaki autism yang berusia 6 tahun dipercayai hilang berdekatan anak sungai di Jalan Kim Chu Shin, dekat Kuching petang semalam.

Maklumat awal yang diterima mengesahkan kanak-kanak yang dikenali sebagai Enrique Bong Kai Cen itu dilaporkan hilang pada jam 4.15 petang sebagaimana laporan yang dibuat ahli keluarga mangsa di Balai Polis Batu Kawa.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi dalam satu kenyataan media mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan mangsa pada jam 6.17 petang.

“Mangsa kali terakhir dilihat memakai kemeja-T putih tanpa kolar dan berseluar pendek berwarna coklat,” ujarnya.

Maklumat yang diperoleh dari Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa pada jam 7.19 malam.

“Ahli keluarga memaklumkan bahawa mereka tidak mengetahui bahawa mangsa sudah keluar dari kediaman,” ujarnya.

Keluarga keluar mencari dan menemui kasut sebelah kanak-kanak itu pada jarak 10 meter manakala kasut kedua pada jarak 30 meter berdekatan anak sungai Kampung Kim Chu Shin.

Pasukan bomba kemudiannya bertindak menjalankan pencarian di sekitar kawasan hutan hingga ke anak sungai namun gagal menemui mangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast