Mohamad.

KEPALA BATAS – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) kini memberi tumpuan untuk menangani masalah keladi agas yang semakin menjejaskan hasil padi di kawasan utara tanah air.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, tumbuhan itu yang sebelum ini dianggap biasa namun membiak terlalu cepat sehingga menghalang pertumbuhan padi, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pesawah.

“Tumpuan saya di Seberang Perai Utara pada hari ini adalah mengenai masalah keladi agas. Kalau kita memandu kereta memang tidak nampak kewujudan tumbuhan itu tetapi bila turun ke sawah, kita dapat lihat keladi agas ini semakin banyak.

“Saya minta Mardi buat kajian lanjut serta cari pendekatan terbaik bagi memastikan keladi agas dapat dikawal sekali gus tidak menjejaskan hasil padi negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Baharu Mardi MR333 di Kampung Lahar Minyak, di sini, hari ini.

Menurut beliau, garis panduan penggunaan racun juga sebenarnya sudah ditetapkan bagi mengawal keladi agas dan ia perlu dipatuhi oleh pesawah supaya masalah itu dapat dikawal.

“Sudah ada SOP penggunaan racun untuk mengawal keladi agas. Bermula daripada proses penyediaan tanah serta semburan perlu dilakukan.

“Jadi, saya minta pesawah ikut SOP ini supaya masalah dapat dikawal, di samping MARDI akan terus mencari kaedah lebih sesuai untuk mengatasi keladi agas,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad turut menggalakkan kaedah penanaman semula menggunakan pelantar bagi mengurangkan kebergantungan pesawah kepada racun.

“Kita percaya penggunaan pelantar akan mengurungkan kebergantungan pada racun malah tumbuhan perosak lain yang muncul selepas penanaman juga boleh dikawal,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast