KUALA LUMPUR – Pemuda Pas menyatakan pendirian tegas menolak cadangan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) yang telah dibentangkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Mohd Hafez Sabri berkata, penolakan terhadap RUU tersebut bukan sahaja datang daripada Perikatan Nasional (PN), malah turut disuarakan oleh beberapa Ahli Parlimen blok kerajaan sendiri.
“RUU ini dibantah secara terbuka kerana mempunyai banyak kelemahan ketara yang boleh memberi kesan negatif kepada rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, antara isu utama yang menjadi perhatian adalah berkenaan ambang persetujuan bagi pembangunan semula bangunan lama yang dianggap terlalu rendah.
RUU mencadangkan ambang 70 perats untuk bangunan melebihi 30 tahun dan 80 peratus bagi bangunan bawah 30 tahun iaitu angka yang jauh lebih rendah berbanding piawaian antarabangsa seperti Hong Kong (90 peratus) dan Singapura (80 peratus).
Malah, beberapa Ahli Parlimen kerajaan turut menggesa agar ambang tersebut dinaikkan kepada sekurang-kurangnya 85 peratus bagi memastikan hak pemilik dan penyewa rumah kos rendah tidak diketepikan.
Selain itu, Pemuda Pas turut membangkitkan isu percanggahan peruntukan dalam RUU tersebut dengan undang-undang utama negara termasuk Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara, Akta Hakmilik Strata dan Akta Pengambilan Tanah.
“Satu persoalan besar yang timbul ialah berkenaan kuasa Pihak Berkuasa Negeri di Wilayah Persekutuan yang diletakkan di bawah Menteri Kerajaan Tempatan dan bukannya Yang di-Pertuan Agong.
“Ini menimbulkan tanda tanya besar, adakah ia satu usaha mengambil alih peranan Yang di-Pertuan Agong di Wilayah Persekutuan?” soal beliau.
Sementara itu, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi menerusi satu surat rasmi bertarikh 20 Ogos 2025 turut menggesa agar bacaan kali kedua RUU ini ditangguhkan sehingga semua isu hasil sesi libat urus dapat diselesaikan sepenuhnya.
Sehubungan itu kata beliau, Pemuda Pas Malaysia akan mengadakan satu perhimpunan aman di perkarangan Parlimen pada 26 Ogos 2025 bagi membantah bacaan kali kedua RUU tersebut.
“Kami menuntut agar kerajaan tidak meneruskan pembentangan RUU ini kerana ia membuka ruang kepada penindasan secara halus terhadap rakyat, khususnya golongan miskin bandar,” ujar Mohd Hafez yang juga ADUN Manjoi. – MalaysiaGazette















