Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib. Foto AIZAT ZAINAL, 11 SEPTEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas berharap penyaluran dana tambahan RM100 juta kepada Palestin seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi, dapat diuruskan dengan penuh telus, cekap dan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.

Sambil menyambut baik inisiatif itu, Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, dana yang diumumkan tersebut adalah hasil daripada amanah rakyat, dan pastinya rakyat Malaysia ikhlas untuk turut sama menyumbang demi Palestin.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, Palestin adalah isu kemanusiaan sejagat, bukannya ruang untuk bersaing dalam populariti politik.

Sehubungan itu, tambahnya, apa yang lebih utama adalah memastikan bantuan yang disalurkan memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat Palestin serta menguatkan semangat mereka untuk terus bertahan.

“Bagi Pemuda Pas, Palestin bukanlah isu parti mahupun kaum, tetapi isu kemanusiaan dan tanggungjawab bersama umat Islam yang menuntut seluruh rakyat Malaysia bersatu hati.

“Sumbangan ini mencerminkan kebersamaan dan kepedulian rakyat Malaysia terhadap penderitaan rakyat Palestin yang terus berhadapan dengan kekejaman rejim Zionis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malam tadi ketika menyampaikan syarahan umum sempena Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka, Anwar mengumumkan dana RM100 juta bagi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang semakin menderita akibat kekejaman rejim Zionis.

Perdana Menteri berkata, dana itu merupakan tambahan kepada bantuan RM100 juta yang diberikan Kerajaan MADANI dua tahun lalu, yang kemudian turut disumbang syarikat dan rakyat negara ini.

Sementara itu, Afnan Hamimi berkata, Pemuda Pas sejak sekian lama konsisten dalam mengangkat isu Palestin melalui kempen kesedaran, kutipan dana, bantuan kemanusiaan dan solidariti rakyat di seluruh negara.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat sivil dan parti politik untuk terus memperkukuhkan solidariti terhadap Palestin tanpa mengira perbezaan.

“Dewan Pemuda Pas percaya bahawa setiap sen sumbangan daripada rakyat Malaysia akan menjadi tanda bahawa negara kita sentiasa berdiri teguh bersama Palestin,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast