Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh (dua kiri) bersama Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Mohd Khair Ngadiron (kiri) , Pengerusi Perbadanan Kota Buku, Tan Sri Norzrul Thani N. Hasaan Thani dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar (kanan) merasmikan ‘Dua Juta Buku Tulis Kitar Semula: Memacu Pendidikan Lestari ketika di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Syarikat-syarikat korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan konglomerat diseru supaya menyertai program penajaan buku tulis kitar semula sebagai rakan strategik dalam usaha memperkasa pendidikan dan kelestarian alam sekitar.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, penyertaan syarikat korporat dalam program berkenaan bukan sahaja dapat menaikkan imej syarikat, malah akan memaparkan komitmen mereka terhadap aspek persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) yang semakin diberi perhatian di peringkat global.

“Jadikanlah logo syarikat anda terpampang pada buku-buku yang akan digunakan oleh murid-murid di seluruh negara.

“Tunjukkan bahawa syarikat anda bukan sahaja menjana keuntungan tetapi turut memberikan nilai kepada pendidikan dan kelestarian,” katanya.

Antara dua juta buku tulis kitar semula yang akan diagihkan kepada murid sekolah menjelang musim persekolahan Januari 2026 pada Majlis Perasmian ‘Dua Juta Buku Tulis Kitar Semula: Memacu Pendidikan Lestari ketika di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 OGOS 2025.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kota Budi ESG (Fasa 2): Dua Juta Buku Tulis Kitar Semula: Memacu Pendidikan Lestari, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis pelancaran itu Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Kota Buku, Tan Sri Dr Nik Norzarul Thani N Hassan Thani dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar.

Mengulas lanjut Kah Woh berkata, penajaan buku oleh syarikat-syarikat berkenaan bukan sahaja mengangkat jenama korporat di mata rakyat, malah turut meningkatkan keyakinan pelabur dan pelanggan terhadap syarikat yang mendukung tanggungjawab sosial korporat.

“Dunia kini menilai syarikat bukan sekadar pada keuntungan tetapi kepada komitmen mereka terhadap ESG.

“Menyokong program ini bermakna syarikat-syarikat anda akan dilihat sebagai sebahagian daripada penyelesaian terhadap cabaran alam sekitar dan sosial sejagat,” ujarnya.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berucap pada Majlis Perasmian ‘Dua Juta Buku Tulis Kitar Semula: Memacu Pendidikan Lestari ketika di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 OGOS 2025.

Katanya lagi, bagi fasa kedua program tersebut, Perbadanan Kota Buku bersama rakan sinerginya menyasarkan pengeluaran dua juta buku tulis kitar semula menjelang Januari 2026.

Ini menurut beliau merupakan satu lonjakan besar berbanding fasa terdahulu iaitu sejuta buku tulis.

Sasaran itu kata beliau, diyakini akan memberi manfaat kepada lebih ramai murid, meringankan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah serta menyumbang kepada pemeliharaan sumber semula jadi serta pokok-pokok hutan yang semakin terancam.

“Buku tulis mungkin kelihatan kecil nilainya tetapi bagi seorang murid, ia adalah alat utama untuk belajar dan menulis masa hadapan mereka. Apabila buku itu dihasilkan daripada kertas kitar semula, ia menjadi simbol tanggungjawab kita terhadap bumi,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited untuk terus menyokong inisiatif berimpak tinggi itu yang juga selari dengan usaha kementerian untuk mengarusperdanakan ESG dalam ekosistem pendidikan negara.

Inisiatif tersebut juga jelasnya, seiring dengan dasar nasional dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian ‘Dua Juta Buku Tulis Kitar Semula: Memacu Pendidikan Lestari ketika di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 OGOS 2025.

Sementara itu, Adibah ketika ditemui berkata, buku–buku yang mendapat tajaan syarikat-syarikat akan diberikan kepada murid-murid yang terdiri dalam kalangan keluarga B40.

Katanya, langkah itu juga mampu memastikan, tiada anak-anak dalam kalangan keluarga dari kelompok berkenaan tercicir dalam arus pendidikan.

“Pada masa sama syarikat-syarikat korporat ini diberi peluang untuk bersama kita meletakkan logo mereka pada buku yang dicetak sekaligus menunjukkan aspirasi sama ke arah pembentukan sosial,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast