Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Rancangan Malaysia Ketiga Belas di Dewan Negara, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 25 OGOS 2025.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membentangkan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030 di Dewan Negara bagi kelulusan.

Bertemakan Melakar Semula Pembangunan, RMK13 itu berteraskan kepada tiga asas utama iaitu pembentukan negara bangsa yang berdaulat dan bermaruah; sistem sosial berteraskan insan MADANI serta peralihan kepada negara berasaskan kecerdasan buatan.

Pelan pembangunan lima tahun itu menyasarkan pembentukan masyarakat yang inklusif dan progresif selain menjadikan Malaysia sebagai peneraju teknologi digital serantau melalui penghasilan inovasi serta produk dan perkhidmatan bertaraf global ‘Made by Malaysia’.

Empat tonggak utama digariskan di bawah RMK13 iaitu meningkatkan kerencaman ekonomi; meningkatkan mobiliti sosial; mempercepat pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam serta mempertingkatkan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

Di samping itu, RMK13 turut melibatkan sembilan tumpuan iaitu menuju negara berteraskan kecerdasan buatan; melonjakkan industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) dan sektor strategik; menyeimbangkan kemajuan ekonomi antara wilayah dan mengukuhkan pembangunan desa serta memperhebat penglibatan dan peranan Malaysia di persada ekonomi dunia.

Tumpuan lain adalah memastikan perkhidmatan telus, tangkas dan tuntas, menangani beban kos sara hidup, merekayasa sistem sosial berteraskan insan MADANI, meningkatkan mutu kehidupan rakyat dan mencapai keadilan sosial dan kesaksamaan peluang.

Antara sasaran utama RMK13 menjelang 2030 ialah pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar purata 4.5 hingga 5.5 peratus setahun, pengurangan defisit fiskal kepada bawah tiga peratus KDNK, serta pertumbuhan pelaburan swasta mencecah RM417.9 bilion setahun secara nominal.

Sementara itu, Anwar ketika membentangkan RMK-13 itu sekali lagi menekankan mengenai sembilan prakasa yang digariskan di bawah pelan itu yang melibatkan kos dalam hidup rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bergambar sambil menunjukkan buku Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) ketika di Dewan Negara, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 OGOS 2025.

Katanya, langkah-langkah yang diambil termasuk meningkatkan bantuan Sumbanngan Tunai Rahmah (STR); Jualan Menu Rahmah; pelaksanaan gaji minimum RM1,700 dan skim gaji progresif bagi syarikat swasta dan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) untuk penjawat awam serta penetapan gaji minimum sehingga RM3,100 melibatkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

“Sasaran keberhasilan untuk dicapai dalam tempoh RMK13 ini adalah antaranya pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara purata sehingga 4.5 dan 5.5 peratus.

“Bagaimanapun, kita harus kaji dari semasa ke semasa sasaran ini berdasarkan ketidaktentuan dari segi politik global yang mencabar dan sentiasa berubah,” katanya.

Terdahulu, sidang Dewan Rakyat pada 21 Ogos lalu, meluluskan usul RMK13 menerusi undian suara tanpa sebarang pindaan selepas dibentangkan Anwar pada 31 Julai lalu.

Usul RMK13 itu melalui sesi perbahasan selama lapan hari bermula 4 Ogos lalu, melibatkan seramai 153 Ahli Parlimen daripada blokl kerajaan dan pembangkang.

Sementara itu, sesi penggulungan RMK13 pula bermula 18 Ogos lalu, membabitkan seramai 30 menteri dengan penggulungan terakhir dibuat Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang menjalankan tugas dan fungsi sebagai Menteri Ekonomi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast