KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan mungkin perlu campur tangan dalam pergeseran melibatkan parti komponen Barisan Nasional (BN).
Ini kerana, menurut penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr P. Sivamurugan, isu itu perlu ditangani sepenuhnya dan tidak boleh dibiarkan berlanjutan kerana berisiko menjejaskan kestabilan serta kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Dalam masa sama, kata beliau, pucuk pimpinan BN juga perlu mengadakan mesyuarat dalaman bagi membincangkan mengenai rasa tidak puas hati sesama parti komponen supaya penyelesaian segera dapat diambil.
Tambahnya, gerakan supaya MIC dan MCA meninggalkan BN sekiranya datang dari akar umbi parti komponen itu di setiap negeri perlu diberi perhatian, apatah lagi kekecewaan sama turut disuarakan barisan kepimpinan tertinggi parti tersebut.
“Rasa tidak puas hati dalam kalangan parti komponen BN ini perlu diselesaikan di peringkat pucuk pimpinan, bukan lagi menerusi kenyataan atau laporan di media kerana ia boleh menyebabkan hubungan sesama parti komponen menjadi lebih parah,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Hubungan parti-parti komponen BN ketika ini dilihat goyah susulan beberapa kritikan terbuka yang dibuat pemimpin-pemimpinnya khususnya dalam soal meneruskan kerjasama sedia ada.
Beberapa pemimpin MCA dan MIC sebelum ini misalnya memberi bayangan sedia menamatkan kerjasama dengan UMNO dan meninggalkan BN selepas mendakwa seolah-olah tidak lagi wujud dan diperlukan dalam gabungan politik tersebut.
Keadaan dilihat semakin meruncing apabila MIC di tiga buah negeri iaitu Wilayah Persekutuan, Kedah dan Pulau Pinang meluluskan usul supaya parti itu meninggalkan gabungan BN.
Sementara itu, Sivamurugan berkata, meskipun MIC dan MCA berhak untuk berasa tidak puas hati dengan kedudukan mereka ketika ini, namun parti komponen BN tersebut wajar menilai semula sejarah mereka yang panjang di dalam gabungan tersebut.
Dalam masa sama, tambah beliau, rasa tidak puas hati itu boleh ditangani menerusi komunikasi berkesan, selain mencari titik persamaan dalam isu pengagihan kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16); jawatan dalam politik; dana dan sebagainya.
Sementara itu, ditanya berkenaan kelangsungan politik MIC atau MCA sekiranya memilih untuk memutuskan hubungan dengan BN, Sivamurugan berkata, kedua-dua parti tersebut boleh memilih untuk membentuk kerjasama politik baharu termasuk dengan Perikatan Nasional (PN).
Namun, jelas beliau, kedua-dua parti itu perlu berhati-hati dalam membuat pilihan tersebut supaya tidak dilihat hanya diperlukan untuk menarik sokongan pengundi kaum tertentu.
Selain itu, tambahnya, MIC dan MCA juga boleh memilih untuk keluar daripada BN dan menumpukan kepada usaha pemullihan parti dan membina semula sokongan pengundi masing-masing dengan tidak bertanding pada PRU-16.
“Atau MIC dan MCA juga boleh memilih untuk kekal di dalam BN dan dalam masa sama turut tidak bertanding pada PRU-16 untuk memberi tumpuan kepada proses pemulihan dalaman parti,” katanya. – MalaysiaGazette
















