Armand Azha Abu Hanifah

KUALA LUMPUR – Pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) dirayu segera kembali ke meja rundingan bagi menyelesaikan semua isu melibatkan parti komponen dalam BN dalam semangat setia dan bersahabat.

Ketua UMNO dan BN Bahagian Subang, Datuk Dr. Armand Azha Abu Hanifah berkata, segala perbezaan antara parti komponen BN perlu diketepikan dan satu titik penyatuan serta perdamaian perlu dicari supaya BN terus kuat.

Jelasnya, rakyat kini sedang memerhati BN dalam pergeseran yang berlaku antara parti komponen sama ada mampu menunjukkan kematangan dalam semangat keluarga besar BN atau berterusan mengikut emosi.

“Saya merayu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MCA, Datuk Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup memulakan rundingan meja bulat dalam semangat setiakawan.

“Saya yakin jutaan penyokong, pendukung mahupun golongan atas pagar memerlukan BN bagi kestabilan politik negara.

“Perbezaan pandangan mahupun kritikan tidak membuatkan kita menjadi musuh, malah ia merupakan satu formula dalam mengeratkan lagi hubungan kita,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hubungan parti-parti komponen BN ketika ini dilihat goyah susulan beberapa kritikan terbuka yang dibuat pemimpin-pemimpinnya khususnya dalam soal meneruskan kerjasama sedia ada.

Beberapa pemimpin MCA dan MIC sebelum ini misalnya memberi bayangan sedia menamatkan kerjasama dengan UMNO dan meninggalkan BN selepas mendakwa seolah-olah tidak lagi wujud dan diperlukan dalam gabungan politik tersebut.

Keadaan dilihat semakin meruncing apabila MIC di tiga buah negeri iaitu Wilayah Persekutuan, Kedah dan Pulau Pinang meluluskan usul supaya parti itu meninggalkan gabungan BN.

Sementara itu, Armand Azha berkata, pemimpin-pemimpin parti komponen BN seharusnya mengenang semangat setiakawan terutama ketika gabungan tersebut menongkah arus untuk mendapatkan kemerdekaan negara.

Sejak itu juga, tambah beliau, parti-parti komponen BN kekal bersama-sama dalam membina dan memajukan negara sehingga ke tahap yang dinikmati ketika ini.

“Jangan kita terlalu mengikut emosi sehingga lupa persahabatan lama yang telah kita bina puluhan tahun dalam BN,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan mana-mana pihak di dalam BN supaya tidak menjadi batu api dan terus menimbulkan kemarahan sehingga menyebabkan perpecahan lebih besar berlaku dalam gabungan politik itu.

“Saya sayangkan BN, saya bersuara kerana yakin pada perjuangan parti kita sehingga kini walaupun pelbagai cabaran dan ujian ditempuhi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast