Rafizi Ramli

 

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan beliau bersedia mempertahankan fakta-fakta dalam kenyataan yang dikeluarkan terhadap Datuk Farhash Wafa Salvador, bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang mengesahkan telah menerima surat daripada Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co yang mewakili Farhash pada 22 Ogos lalu berkata, kenyataan yang dikeluarkan olehnya adalah satu penyataan fakta.

“Oleh itu, saya bersedia mempertahankan fakta-fakta tersebut di mahkamah,” katanya dalam kenyataan di sini,

Tambah Rafizi, beliau sudah pun telah menyerahkan perkara ini untuk tindakan selanjutnya kepada peguam saya, Razlan Hadri Zulkifli dari Tetuan Gan, Ho & Razlan Hadri.

“Saya berpandangan sekiranya Datuk Wira Farhash memfailkan saman di mahkamah kelak, ia akan menjadi kes berkepentingan awam dan peguam-peguam saya berpeluang menanyakan soalan-soalan yang ditimbulkan oleh pelbagai pihak selama ini,” ujarnya lagi.

Rafizi telah diberi tempoh 48 jam untuk memohon maaf secara terbuka, menarik balik dan memadam kenyataan yang dibuat berhubung Farhash.

Tuntutan itu dibuat melalui surat “cease and desist” yang dihantar firma guaman Ahmad Deniel, Ruben & Co bagi pihak Farhash pada 22 Ogos lalu.

Surat berkenaan, antara lain mendakwa kenyataan Rafizi dalam satu video siaran langsung yang dimuat naik di laman Facebook akaunnya pada 20 Ogos telah mengaitkan nama Farhash dengan insiden serangan terhadap anaknya serta urus niaga syarikat tertentu.

Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co dalam sepucuk surat kepada Rafizi mendakwa tuduhan-tuduhan palsu dan mengelirukan itu serta cara ia diimputasi telah dengan serius merosakkan reputasi Farhash.

“Anda dengan niat jahat telah menerbitkan video tersebut dan transkripsi yang sepadan  dan tidak membuat usaha munasabah untuk memastikan bahawa nama dan reputasi anakguam kami tidak tercemar secara buruk, terutamanya semasa siasatan polis yang sedang berjalan berkaitan perkara ini,” menurut surat tersebut.

Surat berkenaan menyatakan, sekiranya Rafizi gagal mematuhi tuntutan di atas dalam tempoh yang ditetapkan, Farhash mengekalkan semua hak untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap Ahli Parlimen Pandan dan mana-mana individu yang bertanggungjawab tanpa rujukan lanjut. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast